topbella

Wednesday, 8 October 2014

MEMORI CINTA KITA 27


BAB 27

PAGI-PAGI lagi emak dah memekak dekat depan pintu bilik.   Aku dengan malas-malasnya bangun sebelum kena sembur dengan emak.  Baru je aku aku pulas tombol pintu, emak dan terjengol dekat depan dengan muka masam.  Aisey…memang hari ni sarapan pagi dengan bebelan emaklah jawabnya.

“Baru lah nak bangun, kenapa tak sambung balik tidur je?  Dah nak kahwin tapi perangai macam apa entah.  Kahwin besok buatlah perangai macam ni, buat malu mak je dekat mak lang.  Anak dara apa ni!”
Hebat sungguh bahasa mak membebel aku pagi ni. Berdesing telinga bila dengar.

“Alah, mak kita kahwin pun belum lagi.  Bagilah puas-puas jadi orang bujang.  Nanti dah kahwin dah tak dapat bangun lambat lagi.”Aku balas kata-kata mak dengan lembut dan masih sopan he he he.

“Menjawab! Itulah kerja kamu.  Banyak cantik punya muka, nak puas jadi orang bujang konon.  Dah malas aku nak bercakap lagi.  Bebel-bebel pun bukannya nak dengar.  Macam mana lah si Hafizul tu boleh terkenan dengan kau ni.  Tak faham aku.”mak mengelengkan kepala, tangan mak laju bukak tingkap hitam bilik aku.  Silau mata aku tengok cahaya matahari.

“Alah dia tu terima orang apa adanya.  Mak mana tahu.  Adik ni cinta pertama dia tau.”jawabku tak nak kalah.

Mak buat muka meluat pandang aku.  Terus keluar bilik bila tengok aku dah capai tuala masuk ke bilik mandi.  Dah penatlah tu membebel dekat aku.

Habis mandi dan pakai baju, aku keluar dari bilik.  Emak dah siap letak satu bakul baju dekat pintu belakang, tu tandanya nak suruh sidai.  Dengan malasnya aku terus capai bakul baju dan keluar ikut pintu belakang.

“Masam je muka, mood tak baik ke?” tegur satu suara di sebelah rumah.  Sapa lagi tunang kesayangan lah.
Aku berikan jelingan tajam, malas nak melayan.  Kenapalah penyidai ni dekat dengan pagar rumah dia.  Letak jauh sikit tak boleh ke.

“Amboi! Tembus otak abang dapat jelingan macam tu.  Takkan marah kot.  Cuba senyum sikit pagi-pagi ni, dapat pahala tau.” Aku buat tak tahu.  Tangan masih laju menyidai baju. 

“Ermm…tak apalah, nak berbual orang tu tak layan pulak.  Nasiblah..” Abang Hafizul bersuara sedih.
Serba salah pulak aku rasa, padahal saja-saja je malas nak melayan.  Sensitif pulak dia pagi ni.  Patutnya aku lah yang sensitif, ni terbalik.

“Nak apa cakap je lah, tapi tak boleh lama-lama nanti kena marah pulak dengan mak.  Banyak kerja dekat dalam tu.”berbunyi jugak suara aku.

Abang Hafizul perlahan-lahan jalan dekat tepi pagar kawat yang pisahkan rumah kami.  Dia berdiri dekat situ.

“Sebenarnya….sebenarnya….abang..”tergagap Abang Hafizul nak bercakap.  Terhenti tangan yang menyidai menanti dia bercakap.  Macam mulut tu ada emas pulak.

“Sebenarnya apa?”

“Tak ada apalah, abang masuk dalam dulu.  Nantilah abang cakap, dah lupa pulak.” Sengih Abang Hafizul.
Aku mengelengkan kepala, macam-macam peel tunang aku ni.  Boleh pulak lupa nak cakap apa. Macam dah termakan berpuluh ekor semut je gaya muka dia. 

“Adik! Dah habis belum sidai baju tu?  Masuk sini tolong mak masak.” Jerit mak di muka pintu.  Mak keluar dengan senduk dekat tangan. Gaya macam mak tiri bawang putih je.

“Dah sudah dah, nak masuk lah ni.”
Aku pandang Abang Hafizul yang masih berdiri kat pagar.  Eh tadi dia kata tak ingat nak cakap apa dengan aku tapi tak pergi-pergi pulak dari tadi, yang tercongok kat sini buat apa.

“Hah! Kamu Hafizul karang tengah hari datang makan sini.  Hari ni adik masak untuk semua.  Jangan lupa cakap dekat ayah ibu kamu tu.”jerit mak pada Abang Hafizul dengan jarak tak jauh mana pun.  Tapi cukup lantang suara mak bila cakap, kalau tak dengar tak tahulah aku. Yang peliknya bila pulak mak dah tercongok depan pintu tu.

Aku telan air liur pandang muka mak.  Bila pulak aku berjanji nak masak segala ni.  Eisykkk mak ni pandai je petik nama aku.

“Baiklah mak ngah nanti Fizul cakap dekat ayah dan ibu.”aku jeling sekilas pandang muka Abang Hafizul.  Macam suka je dengar aku nak masak.  Laju aja setuju.

“Hah kamu tu Dik! Cepatlah masuk! Yang berdiri macam tiang tu kenapa. Banyak kerja nak buat ni.  Masuk cepat!”arah mak.

“Nak masuk lah ni”  Aku cepat-cepat lari masuk dalam rumah.  Pekak telinga aku dengar mak menjerit.  Lama-lama nanti. memang tersumbatlah telinga aku ni.

Aku duduk bersila dekat lantai, tengok bahan-bahan masakan yang dah tersedia.  Amboi! Gaya macam nak buat kenduri je.  Macam nak makan sepuluh orang.

“Mak banyaknya bahan, nak masak apa ni?”soalku dekat emak yang sibuk mengupas kulit bawang.

“Nak masak kari ayam campur nangka, goreng sayur kacang, ikan bawal berlada, kubis tu masak tumis air.  Nanti tolong bakar belacan tu sikit,mak nak buat sambal belacan hari ni.”

“Banyaknya, mak buat kenduri ke apa.  Macam ramai pulak nak makan.”

“Isykk..kamu ni, sekali-sekala nak jamu orang apa masalahnya.  Dah jangan banyak cakap pergi ambil pisau tu potong ayam.  Kalau asyik bercakap sampai ke besok pun tak sudah.  Cepat!” suruh mak.

Aku telan air liur dengar penerangan emak yang panjang berjela tu.  Mak ai! Banyaknya nak masak.  Sempat ke ni? Aku cepat-cepat ambil pisau untuk potong dan bersihkan ayam.  Emak kalau dah mula memasak, kena cepat tolong kalau tak membebel lah mulut dia karang.  Tak pasal-pasal hari minggu macam ni aku habiskan masa dekat dapur.  Ingatkan dapatlah berehat-rehat tadi.  Melepas harapan nak tengok tv, hancur bederai. Prang!!

*************************************************************

“Hafizul tambah lauk tu lagi, kenapa makan sikit sangat je tu.  Ni banyak lagi nasi ni.  Ambil ni.” bising mulut mak melayan Abang Hafizul dekat meja makan, macam makan kenduri gayanya.

Aku cuma jeling orang dekat sebelah aku ni.  Bukan apa, mak ni over betul.  Rasa aku, si Hafizul ni dah dua kali bertambah, tu pun mak kata sikit lagi.  Aku yang dari tadi tak tambah-tambah mak tak pelawa pulak.  
Rasa macam dianak tirikan je.

“Ouch!”jeritku.

“Kenapa pulak kamu ni?”soal abah, bila tengok muka aku berkerut menahan sakit.
“Tergigit lidah.”ucapku perlahan. Aku minum air suam, itulah kau Tizz mengumpat lagi kan dah dapat balasan.

“Tu lah..time makan jangan berangan,ni fikiran entah kemana.  Tak senonoh betul perangai anak dara ni.  Besok kalau kahwin jangan buat perangai macam tu.  Malu kan mak je.” Bebel Mak.

Semua yang ada atas meja ketawa besar dengar emak membebel dekat aku.  Pasrah je muka aku, tak boleh nak kata tidak dekat mak.  Yang aku mampu hanya senyum dan makan dengan perlahan.

Abang Hafizul tiba-tiba siku tangan aku kat sebelah, dia buat mata isyarat suruh ambilkan mangkuk kari ayam kat sebelah sana.  Manja!  Aku bagi jelingan tajam tapi tangan laju ambil mangkuk kari tadi dan letak dekat depan pinggan dia.  Tak sampai hati, bila tengok tunang nak makan.  Aku teruskan suapan tadi balik.

Siku aku ditolak sekali lagi, aku pandang Abang Hafizul.  Bulat mata ‘nak apa.’  Abang Hafizul bagi isyarat mata ke arah mangkuk kari dan kemudian ke pinggannya.  Aku cuba fahamkan isyarat, rupanya dia nak suruh aku sudukan lauk dalam pinggan dia.  Ingatkan apa tadi. 

Hisykk  memang mengada-ngada betul tunang aku ni, dah lah tadi aku penat masak kena kerah dengan mak.  Sekarang dia pulak nak kerah sambil manja-manja dengan aku.  Geram!

Aku buat tak tahu, pandai lah sudukan sendiri tak kuasa nak layan.  Mengada-ngada.  Kali ni  kaki aku terasa ditolak perlahan.  Aku tinjau bawah meja tengok kucing mana pulak main tolak kaki aku ni.  Ceh! Ingatkan si Tompok kucing abah tadi, rupanya kucing garong kat sebelah ni punya kaki.  Hisyk dia ni, selagi aku tak buat apa dia nak selagi itu dia tak puas hati.

Aku angkat muka pandang wajah Abang Hafizul yang tersengih-sengih. Aku jeling sikit. Dengan suka hatinya aku sudukan kuah kari tadi sama lauk ayam.  Suka lah muka dia bila tengok aku melayan dia.  Tapi kalau dah namanya Tizz Alisya kalau tak kenakan orang memang tak sah! Dengan secepat kilatnya tanganku menyudu sambal belacan dan aku bubuh dekat pinggan dia.  Ambik kau!!

Terbeliak mata Abang Hafizul tengok sambal belacan penuh dalam pinggan dia.  Sampai nasi pun dah tak nampak.

“Eh Dik! Kamu bubuh banyak sambal belacan kat Hafizul tu kenapa, tak pedas ke nanti.” Soal Mak bila tengok aku dah angkat piring sambal belacan bubuh kat Abang Hafizul.

“Tak lah mak, Abang Hafizul ni ha yang nak.  Kan Abang?”sengaja aku menyoal dia.  Padan muka kau, nak sangat berlayan kan huh u hu.

“Aah..Mak lang.”ringkas je jawapan Abang Hafizul. Aku dah tahan gelak, padan muka.  Redha lah kau makan sambal belacan tu.  Sukanya dapat kenakan orang he he he.

Habis je makan, aku bantu mak dan mak lang kemaskan pinggan di dapur.  Emak suruh aku hantarkan buah tembikai buat pencuci mulut dekat ruang tamu.  Aku dah siap potong-potong buah tembikai ni tadi, sengaja simpan dalam peti ais biar sejuk dulu.

Perlahan-lahan aku jalan ke ruang tamu, abah dan pak lang sibuk berbual dekat kerusi luar.  Panas agaknya dekat ruang tamu ni.   Aku tercari-cari wajah Abang Hafizul.  Dah balik ke dia?  Aku letak piring berisi tembikai di atas meja.   Belumpun aku sempat berpaling ke belakang aku terlanggar seseorang.

Laju tangan Abang Hafizul memeluk pinggang aku.  Nasib aku tak terjatuh, bila pulak dia ada dekat belakang aku ni? Aku terkaku sekejap.  Mataku tak lepas memandang wajah dia.  ‘Hmm…handsome jugak bakal suami aku ni, nampak macho  pulak dia bila tengok dekat macam ni’

“Sayang tak apa-apa? Sayang?” tegurnya bila tengok aku kaku dalam pelukan dia.
Aku cepat-cepat tersedar, segera menepis tangan dia.  Subhanaallah… leka pulak aku tilik wajah dia tadi.  Nasib mak dan abah tak nampak kalau tak memang ada yang kena lempang lah jawabnya.

“Maaf, abang tak sengaja nak terpeluk tadi.” Ucap Abang Hafizul, rasa serba salah sebab tak sengaja memeluk aku.

“Tak apa, bukan salah abang pun.  Tizz yang terperanjat, nasib baik abang ada kalau tak mesti dah terjatuh.”terasa kekok pulak suasana tiba-tiba.

“Tembikai ni boleh makan ke?” soal Abang Hafizul menghilangkan kekok kami berdua.
Aku pandang piring berisi tembikai diatas meja.

“ Dah letak dekat depan ni mestilah boleh makan takkan nak pandang je.”sindirku.

“Manalah tau kot-kot buat perhiasan.”

“Tu namanya merepek.”jelingku. Kami sama-sama ketawa.

“Sayang duduk lah, berbual-bual dengan abang kat depan ni.  Bosanlah…” pintanya.  Kesian pulak aku tengok wajah seposen bakal suamiku ni.  Nasiblah dapat suami manja.

Aku teragak-agak untuk duduk di sofa berhadapan dengan dia.  Tiba-tiba je kelu pulak lidah ni nak bercakap.  Nak cakap pasal apa eak?  Tak ada idea pulak.

“Nak berbual pasal apa?”
“Pasal…”

“Hah! Elok lah dua-dua dah ada duduk dekat sini.  Mak dengan mak lang baru je ingat nak panggil kamu berdua.  Bagus sangatlah tu, boleh kita bincang soal kahwin kamu berdua.”

Terkejut aku dengan Abang Hafizul dengar suara mak terjerit dari belakang.  Bila pulak mak dah ada dekat situ.  Tak dengar bunyi pun. Aci masuk je dalam perbualan kami yang tak sempat nak mula lagi.

“Bincang pasal apa Mak ngah?”soal Abang Hafizul sopan.  Lembut suara dia. Muka serius.

“Pasal perkahwinan kamu berdua lah, Takkan pasal mak ngah nak nikah pulak.”
Aku tergelak kuat.  Mak ni sejak bila pandai buat lawak, dah macam maharaja lawak mega pulak aku tengok gaya mak.

“Hisyk… mak ngah ni buat kelakar pulak.  Pasal apa tu?”

 “Ni hah mak ngah nak tanya pasal pelamin dan baju pengantin, kamu berdua dah tempah ke belum?  Masa dah suntuk ni.” Aku pandang Abang Hafizul, eh aku dah tempah ke belum eak?  Lupa lah.  Aku tersengih.

“Owh pasal tu, Fizul dah tempah semuanya.  Cuma nak pilih warna je belum.  Tunggu Tizz pilihkan, takut kalau Fizul pilih nanti dia tak berkenan pulak.  Cadang kejap lagi nak pergilah ni tu yang berbincang tadi…” laju mulut Abang Hafizul bercakap.  Buah tembikai dimasukkan ke mulutnya.

Aku kelu pandang wajah Abang Hafizul. Entah abad ke berapa pulak dia tu berbincang dengan aku.  Tadi tak sempat nak cakap apa-apa mak dah masuk line dulu.  Pandai je buat cerita, takut lah tu kalau mak dengan mak lang tahu kami masih tak buat persiapan apa-apa.  Pandai jugak cikgu matematik ni temberang.  Ingatkan soleh sangat.

“Kalau macam tu baguslah kan Lang? tak adalah kami ni risau.”

“Betul tu kak ngah tak adalah kita nak kalut nak buat persiapan nanti. Senang bila semua dah selesai.”balas Mak lang mengiakan.

Aku blur pandang emak dan Mak lang.

“Hah pergi lah bersiap kamu berdua, nanti tutup pulak kedai tu.  Adik yang kamu termenung lagi tu kenapa?  Cepat siap, ingat Hafizul tu nak menunggu kamu je. Kamu tu kalau bersiap macam mak datin, ada je yang tak kena.”bising mak.  Sempat mengutuk aku.

“Yelah, yelah adik nak pergi siaplah ni.” Aku cepat-cepat bangun.  Blur kejap fikiran aku.  Nak bersiap? Pergi mana?  Hisyk…Abang Hafizul ni, pandai je buat cerita, kan dah susah.  Geram aku tengok wajah Abang Hafizul yang tersengih-sengih memandang aku.  Siaplah aku kerjakan dia kejap lagi.  Tengok lah karang….

*****************************************
“Marah ke dengan abang? Dari tadi sayang abang ni asyik masam je.  Datang bulan eak?” sindirnya.  Berasap je telinga dengar perlian orang sebelah ni.  Rasa memang nak bagi flying kick je kejap lagi.

“Tak marah pun bengang je, apesal abang kata kita dah bincang pasal hal baju kahwin.  Bila pulak kita bincangnya.  Pandai je abang tipu mak, lepas tu babitkan kita sekali pulak.  So…sekarang ni mana nak cari butik pengantin ni?” bebelku.  Geram tengok muka tak sudah Abang Hafizul kat sebelah.  Dari tadi tersengih 
je kerja dia.  Entah mana dia nak bawak aku pergi, pun tak tahu.

“Dah habis bebel dah, ada apa yang tertinggal lagi tak?”perli Abang Hafizul bila tengok aku dah mula diam.  Cepat jelingan tajam aku bagi kat dia.

“Tak payah nak perli orang, ni kita nak pergi mana ni? dari tadi tak sampai-sampai lagi.”bebelku sekali lagi.  Nasiblah kalau telinga dia tercabut, suka sangat tambah bara dekat hati aku.  Ambil kau rasakan bebelan berbisa aku ni.

“Kejap lagi sampai lah.  Tunggu lah, tau lah abang mana nak pergi.”

“Tunggu lah, tunggu lah.”ejekku.  Aku perhatikan jalan mana yang kami lalui sekarang.  Lorong dekat mana pulak lah si Hafizul ni bawak.  Ada butik pengantin ke kat sini?

“Dah nak sampai dah…Hah ni lah tempat dia.” Abang Hafizul memberhentikan kereta di hadapan deretan bangunan kedai.    Aku meninjau-ninjau dari dalam kereta melihat tempat yang ditunjukkan Abang Hafizul.  Bulat mata aku bila membaca tulisan di pintu kedai.  ‘Butik Andaman.’

“Jom turun.” ajak Abang Hafizul. Perlahan-lahan aku mengikut langkah Abang Hafizul keluar dari kereta.
“Macam mana abang tahu tempat ni. Tahu je jalan nak kesini.”soalku tak henti-henti.  Dah rasa macam nak menyisat segalanya.

“Tentulah abang tahu, tadi kan abang dah bagi tahu dekat mak ngah yang abang dah tempah semuanya.  Cuma tunggu tuan puteri ni nak pilih colour je. ”

Aku muncungkan mulut. “dah tahu dah tempah, tadi bila orang bebel kenapa tak cakap.” Marahku konon menutup malu.

“Rindu nak dengar suara dia marah kan kita. Tu yang abang biarkan je.  Kalau dah kahwin tadi dah lama abang cium dalam kereta.”gelaknya kuat.

Laju tanganku mencubit lengan dia.  Gatal sungguh.

“Ouch!, ganaslah sayang ni.  Kalau bertanda ni siaplah sayang, abang gigit-gigit telinga tu.” mendayu-dayu suara Abang Hafizul dekat telinga aku. Meremang terus bulu roma aku dengar suara romantic dia tu.  Cepat-cepat aku masuk ke dalam kedai.  Mak tolong!

************************************
Besar juga butik pengantin ni, macam-macam fesyen dan trend terbaru ada je dekat sini. Dari tadi aku dah rambang mata nak pilih yang mana satu aku berkenan.  Berpinau mata aku menengok warna-warna baju dan pelamin yang ada dalam buku ni.  Belum lagi tengok baju yang memancar-mancar tergantung dalam kedai ni.  Eksklusif sungguh.

Abang Hafizul dari tadi asyik menilik-nilik baju-baju pengantin yang tergantung. Terdongak-dongak kepala dia memandang baju yang digantung tinggi di tepi dinding.  Kelakar je aku tengok muka serius bakal suami aku tu.  Tilik kain macam tak nak lepas.  Sibuk duk rasa kain tu lembut ke tak.  Apa kes!

Aku kembali menilik semula buku catalog yang diberikan oleh pekerja butik kepadaku tadi.  Di dalamnya  terdapat banyak pakej-pakej perkahwinan yang ditawarkan di butik ni.

“Macam mana, dah ada yang berkenan?” soal Abang Hafizul yang tiba-tiba ada dekat depan aku. Dia terus duduk disebelahku.

Aku gelengkan kepala,“entahlah, tak tahu nak pilih yang mana, semua cantik.  Abang suka warna apa.”

“Tu….”tunjuk Abang Hafizul.  Aku menoleh melihat warna yang disukainya.  Bulat terus mata aku. Biru!

“Eh kita dah berkenan warna ni lah.  Maaf.” Cepat-cepat aku tunjuk gambar baju pengantin warna emerald green.  Tak mahu aku pakai warna biru.  Dah rasa macam baju Politeknik pulak.  Harus tak nak!

“Owh…okay tak kisah. Kalau dah berkenan kita ambil warna ni je lah.” Aku senyum mengiakan. Kesian pulak aku tengok wajah Abang Hafizul yang tak dapat pakai baju warna yang dia nak. Lantak lah kahwin sekali je, so kenalah vogue sikit.  Maaf ye sayang….

“Abang baju time potong kek nanti, nak pakai gaun macam ni boleh tak?”tunjukku pada satu gambar gaun kembang warna putih.  Sesuai untuk majlis potong kek.  Dah berangan nak jadi princess…

“Eh sayang kan dah besar, takkan nak pakai gaun. Kecil-kecil dulu kan dah pernah pakai gaun.”sindir Abang Hafizul.  Aku buat tak dengar sajalah tu nak menyakitkan hati aku.

“Ala…boleh lah.  Apa kena mengena masa kecil dengan sekarang.  Lagipun teringin nak pakai gaun kembang macam ni.  Boleh eak.” Pujukku.

“Yelah..nanti sayang pakai lah.” Abang Hafizul mengalah.

“Yeay! Sayang abang.”aku berikan senyuman lebar pada dia.

“Dapat apa yang dia nak cepat saja cakap sayang. Mengada.”aku jelir lidah kesukaan.  Dapat pakai gaun kembang. Sukanya…

“Hafizul, Tizz dah decide nak pilih warna apa?”soal Kak Suri pemilik Butik Andaman.  Dari tadi dia tak habis-habis melayan kami, maklumlah promosi tu dan ini.  Nak melaku kan barang katakan.

“Dah, kami nak yang ini.”tunjukku cepat, nampak sangat tak sabar.

“Ooo…warna ni, cantik.  Pandai pilih.  Kalau macam tu marilah cuba baju dia dulu.  Kalau besar ke kecil ke senang nak kita outer nanti.  Jom.”

Aku dan Abang Hafizul sama-sama bangun dan mengikut langkah Kak Suri. 

“Nah cuba try dulu baju untuk majlis sanding ni.” Kak suri menghulurkan aku sepasang dress moden bersongket hijau.  Terpegun aku melihatnya.  Buat pertama kali aku melihat baju songket yang dimodenkan.  Dalam gambar tadi macam baju kebaya je.

“Cantiknya kak, berbeza dari dalam buku tadi.”

“Dalam buku tu, baju lama.  Ni trend baru, baru buat tau.  Bertuah kamu, orang pertama yang dapat pakai ni. Akak masih belum keluarkan baju ni lagi.” terangguk-angguk aku dengar cerita Kak Suri.  Mata dah tak boleh nak kalih tempat lain.  Cantiknya baju ni!

“Abang cantik kan baju ni?”tanyaku pada Abang Hafizul.
“Cantik, sayang kalau pakai apa pun cantik.” Pujinya.  Aku tunduk malu, hisyk depan kak Suri janganlah puji macam tu. Malu!

Kak Suri terbatuk-batuk pandang aku dan Abang Hafizul.

“Hafizul kamu cuba baju yang ini, ni pun baru buat jugak ni.” Suruh Kak Suri, menghulurkan kain songket baju melayu pada Abang Hafizul.

Aku tersenyum pada Abang Hafizul di sebelah. Kami melangkah masuk ke dalam bilik persalinan yang disediakan di bilik belakang.  Abang Hafizul masuk di sebelah bilik persalinanku.

  Aku mula menyarungkan dress songket tadi ke tubuhku.  Muat-muat je kat badan, tak besar dan kecil.  Sesaiz!  Aku dah tersenyum kegembiraan. Macam baju ni diciptakan khas untuk aku je.

“Tizz, Hafizul kalau dah try baju tu, cuba keluar kejap, akak nak tengok.”jerit Kak Suri dari luar.

“Sekejap kak!”jeritku dari dalam.
Setelah memastikan baju dah terletak cantik dekat tubuh, aku membuka pintu dan melangkah keluar dari bilik persalinan.

Abang Hafizul turut sama keluar.  Matanya terpegun memandang wajahku. Aku mulalah tersipu-sipu malu.  Rasa nak koyak dah baju ni ditenung macam tu.

“Amboi! Cantiknya kamu berdua ni.  Sama padan.  Tengok si teruna tu tak lepas-lepas mata pandang si anak dara. Sabar ye dulu bang.”tegur Kak Suri.  Abang Hafizul mengalihkan pandangannya ke sebelah sana.  Aku dah tersipu-sipu ditegur begitu.

Kak Suri mula membelek dan melihat dress yang aku pakai. “Hmmm…rasanya baju ni cantik dah letaknya.  Tak perlu nak kecilkan apa-apa ni.  Selesa tak Tizz pakai?”

“Selesa.”balasku laju.

“Kalau macam tu, pergi try baju untuk majlis potong kek ni pulak.  Kalau asyik jeling-menjeling satu kerja pun tak jadi karang.”gelak Kak Suri sempat mengenakan Abang Hafizul yang berpura-pura melihat ke tempat lain.

Aku tertawa kecil, cepat-cepat masuk ke bilik persalinan untuk try baju yang kedua. Agak besar sedikit gaun ni.  Aku menilik tubuhku pada cermin sebelum keluar.

“Besar sikitlah kak gaun ni.”ujarku pada Kak Suri.

“Aaah lah, kejap akak ukur nanti boleh kecikkan.” Kak Suri mula mengukur badanku.  Katanya dia akan mengecilkan sedikit saiz baju ini agar sesuai dengan tubuhku.  Aku hanya mengangguk mengiakan setiap kata-katanya.  Baju Abang Hafizul pula tidak perlu diubah suai lagi.  Sudah sesaiz dengan dia.

“Tizz akak rasa bahagian pingang ni je yang perlu kita kecilkan sikit. Yang lain rasanya dah sesuai sangat kat badan tu.   Hmmm…Kalau macam tu akak tulis dulu dalam resit, kejap lagi kita bincang pasal pelamin. 

  So…Korang berdua pergilah tukar baju dulu.”suruh Kak Suri yang kemudiannya terus ke kaunter depan.
Abang Hafizul mendekati aku sebaik saja Kak Suri berlalu. Dia menarik tanganku mengikut langkahnya. Aku panik kejap.   Kami berhenti di depan bilik persalinan.  Abang Hafizul berdiri di belakangku.  Tangannya menunjuk kearah cermin besar depan kami berdekatan bilik persalinan.

Tersipu-sipu malu aku, melihat bayangan diri kami berdua di cermin.  Romantik pulak dia ni….

“Cantiknya dia pakai gaun kembang-kembang ni rasa nak peluk-peluk je.”bisik Abang Hafizul perlahan.

“Gatal!” Aku cepat-cepat menolak tubuh Abang Hafizul dan masuk terus ke bilik persalinan tadi.

“Fuh!!! Malunya…” ucapku perlahan sambil menutup muka dengan kedua-dua belah tapak tangan.

“Hmm….Tak payah nak malu sangat, bukan orang lain pun.  Tunang sendiri jugak kan.”

 “Sibuk lah…”geramku.  Aku menutup muka menahan malu.  Bila pulak dia ni dah masuk kat sebelah? boleh dengar pulak apa yang aku cakap.  Malunyer kite!!!

*********************************
Balik saja dari Butik Andaman tadi, aku terus berkurung dalam bilik.  Penat giler rasanya.  Emak dah bebel-bebel kat luar tanya macam mana fesyen baju yang aku pilih.  Sengaja aku kenakan mak kata aku pilih gaun pendek yang kembang-kembang macam orang putih tu, ha ha ha.

Apalagi bersilat lah orang tua tu dengar fesyen yang aku sebut.  Segala ayat yang tak sedap didengar, keluar kat mulut emak.  Aku gelak je.  Agak-agaklah mak oi takkan lah anakmu ni nak pakai baju macam tu, buang tebiat.  Sat lagi orang kampung kata aku ni giler pulak ha ha ha. Mahu terjojol mata orang kampong tengok aku pakai baju ala kain tak cukup tu.  Adoi!

Kalau ye pun boleh pakai, tak adanya si Hafizul tu nak bagi.  Lagi di haramkan adalah.  Abang Hafizul tu kan skema dan ala-ala alim sikit.  Dah beberapa kali dia sound aku bila nak pakai tudung.  Erk! Aku buat tak layan je.  Entahlah, hati belum terbuka kot.  Isykk…teruk betul aku ni kan benda wajib macam tu, salahkan hati pulak.  Patutnya aku punya kesedaran sendiri.

Hmm.. Tapi apa pun, insyallah aku pasti akan bertudung, aku tak nak lah sampai tua tak bertudung pulak.  Teruk sangat perangai tu. 

Lepas-lepas isyak ni kalau duduk kat luar rumah sejuk sikit rasanya kan.  Dapat jugak tenangkan fikiran.  
Aku pun mula lah ngorak langkah keluar ke laman rumah.  Rasanya nak duduk berbuai dekat tepi pagar dekat dengan rumah Abang Hafizul tu.  Dah lama tak berbuai dekat buaian bulat yang besar tu.  Rindu pulak rasanya he he he.

Aku pun mula lah goyangkan buai tu dulu laju-laju, lepas tu baru aku duduk.  Sedap pulak naik buai ni, rasa macam nak nyanyi satu dua lagu je he he he.   Dah berbuai laju-laju ni macam gayat pulak rasanya .  Adoi naik pening pulak kepala aku bila berbuai ni. Erk!

“Seronok berbuai nampak tak ajak abang pun.”

“Oh mak kau bising!”latahku. Terkejut aku dengar orang tiba-tiba tegur.  Aku pandang sebelah.  Isykkk…dia ni bikin terkejut aku je.  Tiba-tiba muncul.

“Sorry…tak tahu pulak sayang ni boleh melatah.  Hai la…comel muka dia terkejut.”gelak Abang Hafizul sopan.  Dia duduk di pangkin dekat dengan pagar yang memisahkan rumah kami.
Aku menjeling tajam pada dia.

“Kalau dah tiba-tiba muncul macam hantu, siapa yang tak terkejut.” Geramku sambil mengurut dada.  Lemah semangat!

Aku tenung wajah Abang Hafizul yang samar-samar dalam gelap.

 “Dah berapa lama abang ada dekat sini.  Tak dengar pun bunyi orang jalan.  Abang terbang eak,”

“Mana nak dengar, dari tadi asyik dok ngomel sorang-sorang, entah apa dia cakap tak tahu.  Mulut tu mengomel je dari siang  tadi tak penat-penat.”sindir Abang Hafizul

“Mana adalah, pandai je kutuk orang.”panas je hati dengar kutukan dia. Bila pulak aku mengomel, aku menyanyilah tadi.

Abang  baru balik dari surau lah tadi, ingatkan nak terus masuk dalam rumah tapi ternampak pulak budak kecik yang dok berbuai-buai sorang-sorang, tu yang singgah kejap nak tengok okay ke tak budak tu. Lain macam je sorang-sorang kat luar.”

Aku mencebik. Budak kecik katanya aku. Hisyk!  “Sibuk !  Dah balik surau tu pergilah masuk.  Duduk sini buat apa. Pergilah duduk dalam tu.”

Abang Hafizul senyum lebar pandang aku.

“Saja je… Rasa nak berbual-bual dengan sayang pulak, siang tadi tak puas nak berbual. Tak dapat abang nak cakap satu perkataan pun.”

Aku muncungkan mulut “ tu nak mengata kita suka membebel lah tu kan..”
Abang Hafizul tergelak besar “Adoi sensitive pulak sayang ni sekarang. Cepat pulak touching nya.  Ni yang buat abang tambah sayang.”

Aku pandang sebelah lain. Tak nak senyum depan dia.  Aku pandang dia balik dengan tak ada perasaan. 

“Tadi pergi surau jalan kaki ke?”

“Tak lah terbang ha ha ha. “aku bulatkan mata geram dengar balasan dia. 

“Marah pulak sayang ni,  Aahh jalan kaki.  Kenapa? Nak ikut.  Kalau nak ikut lain kali boleh pergi sama.”
Aku telan air liur.  Bunyi macam mengajak ke atau menyindir aku yang tak pernah ke surau dekat taman ni?

“Insyallah…”jawabku ringkas.  Kelu lidah tiba-tiba.

“Ni duduk kat luar ni, tak sejuk ke?” tanya abang Hafizul dia memicit kepalanya dan merengangkan otot badan.

“Tak.  Bosan duduk dekat dalam rumah tu, tak tahu nak buat apa.”

“Pergilah baca Al-Quran, hafaz mana-mana surah yang perlu tak adalah rasa bosan.  Duduk kat luar nyanyi sorang-sorang ni buang masa, tak datang faedah pun.”
Direct terus dia sound.  Tak masuk simpang lagi terus highway.  Aku telan air liur.  Perlahan-lahan kaki gerak turun dari buaian.

“Nak pergi mana pulak tu?”tegur Abang Hafizul bila lihat aku dah gerak nak masuk dalam rumah.

“Nak masuk dalam rumah. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.” Balasnya sambil mengelengkan kepala. Aku cepat-cepat melangkah masuk dalam rumah.  Karang buatnya si Hafizul buat tazkirah kat situ mahu sampai ke malam aku tak tidur. 

“Hah Dik tadi kata panas sangat kat dalam ni, sekejap je kamu duduk kat luar tu?”soal Abah yang sedang membaca buku dekat ruang tamu.


“Dah sejuk dah.”balasku ringkas.  Cepat je kaki nak masuk bilik.  Karang kalau aku cerita pasal Abang Hafizul tazkirah aku kat luar tadi, mahu pulak abah bukan forum perdana kat dalam ni pulak.  Diorang berdua tu kan, sehati sejiwa.  Bapak mertua dan menantu lah katakan.

0 comments:

Post a Comment

About Me

Ian asynata
"Ceriakanlah hari ini dengan tawa dan riang, siapa tahu yang esok kita akan bersedih...life is complicated..."
View my complete profile