topbella

Thursday, 16 January 2014

MEMORI CINTA KITA 13

Bab 13

SUASANA di dalam kedai agak sedikit lengang dengan pelanggan.  Aku duduk di depan kaunter memerhati beberapa pekerja melayan satu dua pelanggan yang masuk.  Fikiranku masih melayang-layang memikirkan surat dari Abang Hafizul dan mimpi yang menakutkan sejak dua menjak ini.  Naik pening aku memikirkan, sudah tiga hari surat Abang Hafizul dalam simpananku.  Satu pun tak lagi dapat kubalas.

Dan yang lebih menakutkan kenapa pula aku asyik bermimpikan Adam.  Apa kena mengena dia dalam cerita aku dan Abang Hafizul?  Macam tak logik pulak dia nak masuk dalam mimpi aku.  Mainan mimpi barangkali agaknya.

Satu keluhan keluar dari bibirku.

Macam manalah aku nak membalas surat Abang Hafizul ni, perlu ke aku buat solat sunat Istikharah?  Macam mana nak buat ye? Aku tak pernah buat sebelum ni, biasanya hanya solat sunat hajat dan solat sunat biasa saja yang sering aku kerjakan.  Nampaknya aku kena buat jugak solat istikharah ni, kalau tak memang buntu fikiran aku nanti.

Aku berpesan kepada Mariani untuk menjaga kedai sebelum aku keluar.  Fitriah tidak masuk kerja hari ini, dia balik ke rumahnya di Bangi.  Aku dipertangunggjawabkan untuk memastikan urusan kedai berjalan lancar, jadi aku tidak mahu sebarang masalah yang berlaku semasa ketiadaan Fitriah.  Amanah orang mesti kita jaga dengan baik.

Selesai berpesan pada Mariani, aku segera menuju ke kedai buku untuk mencari buku panduan solat sunat Istikharah.  Tangan dan mataku melilau membelek setiap bahagian buku yang ada di rak.  Yes! Jumpa pun.  Aku mengambil buku tersebut dari rak dan terus membayarnya di kaunter.

 Setelah keluar dari kedai buku.  Aku bercadang untuk makan dulu di Food court sebelum balik semula di kedai.  Baru saja kakiku nak melangkah menuju ke meja.  Satu suara menegurku dari belakang.

“Nak makan ke?”

Hampir nak tercabut segala isi jantung. Adam! Apa yang dia buat dekat sini?  Fitriah kan tak ada, dia tak tahu ke? Eiii….kenapalah dia ni muncul bila aku dah lupa tentang dia.  Tak pasal-pasal teringat mimpi tu balik. Menyampah betul!

“Buat apa dekat sini?  Fitriah tak ada, dia balik Bangi.” Aku bercakap agak kuat sedikit sebab suasana agak bising dengan orang ramai yang sedang membeli makanan.

“Tahu… saja je datang.  Nak jumpa kau.”

Bulat mataku memandang dia. Salah dengar ke apa telinga ni?  Dia kata nak jumpa aku ke?

“Apa kau cakap tadi tak dengar sangat?” soalku balik. Takut kalau salah dengar pulak nanti. Rasa lain macam je ayat hujung dia tadi?

Adam mengelengkan kepala.  Mungkin geli hati dengan riaksiku yang mendekatkan telinga kepadanya.

“Tak ada apa lah.  Jom aku belanja kau makan.  Kau duduk dekat situ dulu  biar aku pergi beli makanan.” Arahnya sebelum pergi. 

Aku terkelip-kelip memandang Adam yang berlalu pergi.  Eh! Dia tahu ke aku nak makan apa? Dia tak tanya pun?  Kelakar pulak aku melihat wajah Adam, macam excited je nak makan sampai lupa nak tanya makanan aku. 

Aku duduk di kerusi menunggu Adam.  Tidak lama selepas itu Adam muncul membawa dulang berisi makanan dan air sirap.  Dia nampak sediki termengah-mengah, mungkin penat menunggu lama membeli makanan.   Adam meletakkan dulang diatas meja.

Aku menelan air liur melihat makanan yang tersedia.  Nasi ayam dan sayur kangkung.  Nasi? Memang bagus!  Rosak diet aku Doktor Adam.  Terima kasih sangat.

“Jemput makan.  Sorry terlupa nak tanya kau nak makan apa tadi.  Jadi aku order je Nasi ayam.  Kau makan kan?” soalnya terus duduk berhadapan dengan aku. 

 Aku mengangguk mengiakan.  Takkan nak tolak, dia dah bersusah payah beli untuk aku kan.  Makan je lah…Rezeki jangan ditolak maut jangan dicari kan…
Perlahan-lahan mulutku mengunyah nasi.  Nasib sedap…  Adam memerhatikan aku, dia mengambil sedikit sayur kangkung dan meletakkannya di pingganku.

“Terima kasih.” Ucapku.  Rasa pelik pulak tengok Adam hari ini, kenapa tiba-tiba dia baik dengan aku.  Mesti ada yang tak kena ni.

“Hmmm….tadi aku nampak kau masuk kedai buku.  Beli buku apa?”  Berkerut dahiku memandangnya.

“Dah berapa lama kau mengekori aku sebenarnya ni?” sinisku.
Dia ketawa kuat.  “Lamalah jugak, sampai aku nampak kau beli buku panduan Solat sunat Istikharah tu.  Kau dah ada calon nak kahwin ke?” soalnya. Mulutnya dijuihkan pada buku yang masih berbalut plastik di tepi meja.

Aku menjelingnya, sibuk je nak tahu.  Buat baik, pasal nak jaga tepi kain aku ke?  Eh aku pakai seluar hari ni.  Tepi seluar aku ke?  Perangai macam perempuan pulak dia ni.

“Kalau ada kenapa? Yang kau sibuk nak tahu ni kenapa? Kau pun beli buku tu ke?” sindirku.

Dia terdiam dan merenungku. “Saja je aku nak ambil tahu, Cuma sukar je nak percaya perempuan garang macam kau pun ramai lelaki nak ke?  Dahlah kasar semacam.  Perangai macam jantan.  Macam manalah Fitriah yang lemah lembut tu boleh kawan dengan kau.  Langsung tak ada ciri-ciri wanita.”

Ternganga mulut aku.  Apesal mamat ni cari pasal pulak tiba-tiba.  Aku ada kacau hidup dia ke selama ni.  Besar kecil besar kecil je aku tengok pakwe Fitriah ni.  Aku meletakkan sudu dan garfu dengan kasar di atas meja.  Mataku memandangnya tajam.

“Apa masalah kau ni Adam!  Tiba-tiba je datang nak sound orang.  Kau memang sengaja nak cari pasal dengan aku kan?” soalku marah.

Dia ketawa sinis. “Well…nampaknya macam tu lah.  Aku teringin nak tengok wajah marah kau macam mana.  Not bad..” selamba dia.

Jengkel pulak aku tengok muka dia.  Apa maksud dia not bad?  Argh! Baik aku blah. Lagi lama aku duduk sini lagi menyakitkan hati je.  Aku bingkas bangun dari kerusi meninggalkan Adam seorang disitu.  Aku tidak menoleh langsung ke belakang.  Sakit hati pula memikirkan dia.  Tiba-tiba je hari ni nak cari pasal.  Apa kena dengan dia tu?  Fitriah pakwe kau ni dah gila agaknya!

***************************************************************

Hari ini aku ke pejabat post untuk mengirimkan surat yang ada jawapanku.   Aku sudah ada jawapannya.    Istikharah selama  beberapa hari lepas telah memberikan kekuatan kepadaku untuk membalas suratnya.
Memang tiada mimpi atau petunjuk buat hubunganku dengan Abang Hafizul.   Tapi menurut beberapa ustaz yang sering aku dengar ketika ceramah dulu.   Katanya tak semua petunjuk itu datang dari mimpi.   Jika ada mimpi, itu adalah limpahan ‘nur’ dari Allah S.W.T.   Hanya segelintir saja yang bertuah.   Jika tiada, kita boleh mengikut kata hati asalkan ianya tidak bercanggah dari sisi agama dan undang-undang.   Berdoalah terus kepada Allah agar  mempermudahkan urusan kita.  Sesungguhnya Allah itu Maha pemurah dan Maha mengetahui.

Dan aku yakin dengan keputusanku.  Inilah kata hatiku buat dia.  Aku harap pilihanku ini akan diredhai dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T

Surat yang aku tulis kepada Abang Hafizul bukanlah surat berjiwa.  Suratku lebih ringan dan tidak meleret maksudnya.  Aku bukan pandai nak bermadah, setakat faham cukuplah.   Asalkan ada isi dan maksud.

Bismillahirahmannirahim
Assalamualaikum.

Ke hadapan Saudara Hafizul

Saya sudah memaafkan Abang walaupun hati  agak terguris dengan apa yang terjadi.    Tapi saya fikir segalanya ada Hikmah yang tersendiri.  Tak perlulah Abang berasa bersalah lagi.   Saya tidak mahu Abang terus menghukum diri.   Cuma satu pesanan buat Abang, hormatilah diri saya sebagai seorang perempuan dan jangan pernah melakukannya lagi.

Abang Hafizul…
Sesungguhnya takdir itu indah sekali.  Allah telah membukakan pintu hati saya untuk yakin menerima abang.
Dan saya yakin inilah jawapan untuk setiap persoalan abang di dalam surat tempoh hari

Abang telah bertanya kepada saya.  Dan saya telah membalasnya.   Setiap ayat yang abang coretkan telah saya lakarkan kembali dan sambungannya juga saya selitkan sekali.

Abangku Hafizul.

Pertama Abang bertanya sudikah saya menghabiskan seumur hidup bersama abang.
Ermm jawapan saya….Insyallah, tentulah saya sudi,sebab saya mahu bersama abang bukan sahaja seumur hidup malahan sehingga ke jannah.   Dan seterusnya saya mahu menjadi bidadari abang di syurga kelak.

Kedua soalan abang berbunyi begini bolehkah sayang menemani abang dikala abang susah dan senang
Insyallah…. saya akan sentiasa berdoa untuk itu.    Semoga abang akan dilimpahi nikmat dan kebahagian  oleh Allah s.w.t.   Dan jauhkanlah kesusahan itu dari abang. Tapi jika itu kehendak dari NYA sudah tentu saya akan sentiasa bersama abang.   Susah senang abang adalah milik saya juga.

Soalan ketiga dari abang, Relakah dirimu disentuh dengan kasih sayang abang.
Ermm…tiada jawapan untuk ini..kalau nak juga jawapan tanyakan pada malam pertama kita. insyallah..pasti ada jawabnya nanti. (Jangan nak gatal-gatal senyum bila baca.)

Sendainya sayang menerima abang hadirlah di dalam mahligaiku dengan cintamu
di situ abang akan menantimu.
Soalan ke ni? Nampak macam soalan je.   Tapi langsung tak relevan tak faham macam mana nak balas sedangkan sepatutnya abanglah kena bertindak barulah saya ada jawabnya. Maksud saya disini, selagi saya tidak sah untuk abang macam mana saya ingin hadir dalam kehidupan abang. Faham tak?

Okay lah tak nak tulis bebanyak cukuplah sampai disini.
Yang akan menunggu …
Cincin tanya
Cincin tunang
Cincin nikah dari mu.
He he he….

Tizz Alisya Mohd Aidil
Da sweet girl in the world…

**************************************************
SEBULAN sudah berlalu.   Surat sudahku kirim namun masih tiada khabar berita langsung di kampung. Aku mula merasa resah dan risau. Mulalah otak aku berfikir surat tak sampai ke?,surat kena hujan ke?,surat hilang ke? Arghhhhh tension!

Nak telefon ke kampong, aku rasa dalam 30 hari ni dah lebih 20 kali aku call.  Mak pun dah kata aku ni tak betul.  Yelah telefon asyik bertanya khabar orang kampung sampai ke ayam dan itik aku tanya.    Dan lebih parah lagi siap aku tanya khabar datuk dan nenek aku, tak ke gila tu!!! Datuk dan nenek aku kan dah meninggal, takkan lah aku nak suruh mak tanya khabar kat kubur kot. Hampir aku menepuk dahi bila kena marah dengan mak.

Fitriah pula boleh gelak tergolek-golek bila aku ceritakan hal yang sebenar.   Sampai dia kata aku ni dah kena tekanan jiwa tahap kronik kena panahan cinta Abang Hafizul.   Aku apalagi hangin lah tengok si Fitriah.  Dia ni bukan nak menenangkan, huru-hara lagi adalah.
S
ampai ada masanya aku rasa menyesal pulak hantar surat tu.    Rasa macam aku pulak terhegeh-hegeh nak kat dia.  Tapi nak buat macam mana kalau aku tak balas nanti melepaslah he he he. 


Ternyata tahap kegatalan aku semakin menjadi-jadi pulak sejak jatuh cinta ni. ‘Hurmm agaknya Abang Hafizul masih rasa bersalah kot…hisykk aku kan dah maafkan dia?’  Oh Allah… kenapa dia tak call aku!!!!...

1 comments:

sim said...

X sabar tunggu sambungannya

Post a Comment

About Me