topbella

Sunday, 23 February 2014

MEMORI CINTA KITA 22

Assalamualaikum.....MCK 22 telah pun dipost.  Agak sedih sikit entry kali ini sampai ian pun terbawak-bawak emosi ketika menaipnya.  ian harap semua orang dapat rasa apa yang ian cuba sampaikan.  Okaylah..sampai sini dulu nanti ian borak dengan korang lagi.  IHYMP kena hold dulu he he he.  
Pssst......jgn lupa comment tau..

######################################################
BAB 22

Aku duduk di balkoni termenung memerhati hujan yang turun lebat di luar.  Hujan yang sudah tiga hari turun tanpa henti seolah-olah sedang mengikut rentak hatiku yang bersedih saat ini.  Hembusan angin bayu yang menyapa pipi, membuatkan diriku pilu dan sayu.  Aku hilang arah dan tujuan.  Keyakinan diri dan semangatku seakan goyah.  Seperti sebahagian dari diriku ini sudah hilang dan dibawa pergi bersama angin.

Aku memejamkan mata, ingin menikmati hembusan angin yang semakin kencang. 

“Aku takkan tinggalkan kau.  Tak kan pernah dan takkan terjadi….” Aku membuka mata semula.   Kata-kata Adam ketika kami di Ladang strawberry terngiang-ngiang di telingaku.  Aku menahan rasa pedih.  Dulu aku tidak memahami maksudnya tapi sekarang aku rasa sakit mengenangnya kembali.
Rupa-rupanya bukan mudah untuk menghadapi semua ini.  Rasa kehilangan dalam cinta sangat menyakitkan.  Aku rasa terseksa bila teringat kembali wajah Adam dan kata-katanya tempoh hari.  Sungguh aku tidak mahu dia pergi tapi aku terpaksa melepaskan dia.  Demi kebahagian dia dan Fitriah aku harus berkorban. 

“Ya Allah…berikanlah kekuatan kepadaku untuk menghadapi hari-hari Mu.  Sesungguhnya aku hambamu yang lemah dan tidak kuat. Amin.” Aku berdoa di dalam hati.

“Angin bawalah rasa cinta ini pergi, agar ku bisa bertahan demi kebahagian dia.”  Deruan angin yang semakin kuat seperti faham maksud hatiku.   Aku menangis dalam pilu.

“Bummmmmm!!!!!”

Bunyi dentuman pintu utama dari bawah memeranjatkan aku.  Fitriah sudah balik rumah ke?  Cepat-cepat aku menyeka air mata.  Aku tidak mahu Fitriah melihat aku dalam keaadan begini.  Mesti dia akan tertanya-tanya nanti bila melihat air mataku.  Aku takut aku tidak kuat untuk menyembunyikan semuanya nanti di hadapan dia.

Pintu tombol bilik aku pulas.  Kakiku laju melangkah turun ke tingkat bawah.  Fitriah sedang duduk di sofa hadapan.  Wajahnya nampak muram.

“Fitt, kau kenapa ni?”soalku risau.

Fitriah mendiamkan diri,dia langsung sedikit pun tidak bersuara.  Pelik aku melihat kelakuan dia.  Tak pernah-pernah dia macam ni sebelum ni.  Dia tak sihat ke?

“Kau sihat tak?  kenapa kau diam ni beb? Cakaplah sesuatu, risau aku tengok kau kau muram macam ni?” Lembutku menyoal. Tanganku menyentuh bahu Fitriah.

Fitriah menepis, “Jangan sentuh aku!  Pergi dari sini!  Aku benci tengok muka kau! Hipokrit!!!” Aku tergamam melihat Fitriah yang tiba-tiba menjerit kepadaku.  Dia berdiri dan memandang aku dengan wajah yang amat berang.

“Fitt, kenapa ni? kenapa kau marah-marah macam ni?  Aku tak faham?”  Tak pernah aku lihat Fitrah beriaksi sebegitu.  Sungguh aku takut memandang wajah dia sekarang.

Fitriah mencebik. “Huh! Tak payahlah kau nak berpura-pura baik dekat depan aku.  Aku dah tahu kau ni sebenarnya siapa.   Perampas!  Orang macam kau ni memang tak tahu malu.   Hati kau tu busuk sangat!!”  jerit Fitriah.

Aku berisgtifar panjang mendengarnya.   Aku yakin mesti Adam sudah memberitahu Fitriah sesuatu.  Kalau tak masakan Fitriah boleh mengamuk semacam ini.  Ya Allah dugaan apa pula kali ni kau berikan padaku.  Aku kena sabar lawan semua ni.  Aku tak boleh ikutkan rasa menghadapi Fitriah sekarang.  Emosi dia tengah tidak stabil.

“Fitriah apa yang kau merepek ni cuba bawak bersabar.  Benda macam ni kita boleh bawa berbincang.  Aku dengan Adam tu tak ada apa-apa, kami Cuma kawan je. Percayalah….”pujukku. 

“Ahhh!! Kau ingat aku bodoh ke?    Kalau kau dengan dia berkawan kenapa Adam tiba-tiba batalkan majlis pertunangan kami.  Dia sendiri yang kata yang dia tak nak tunang dengan aku kerana dia cintakan kau!!  Kawan ke kalau macam tu ?   Sebenarnya  kau tu memang tak guna!  Sanggup kau rampas kekasih kawan sendiri.  Aku betul-betul benci kau sangat.”Fitriah menangis.

Astafiruallahalazim……… Adam batalkan pertunangan dia dengan Fitriah?  Ya Allah kenapa Adam sanggup buat macam tu?  Kenapa dia tegar melukakan hati Fitriah.

“Fitriah…antara aku dengan Adam memang betul tak ada apa-apa.    Aku mengaku yang Adam memang ada cakap dia sukakan aku.  Tapi aku tak terima semua tu.  Percayalah… aku sayangkan kau Fitt.  Aku takkan sesekali khianati persahabatan kita.  Kau percayakan aku kan?  Kita dah lama berkawan.”

“Argh! Aku tak percaya.  Kalau pun kau tolak cinta Adam sekalipun dia tu tetap cintakan kau!  Aku?  Dia Cuma anggap aku macam adik je.  Dia tak nak kahwin dengan aku.  Dia nak kahwin dengan kau!!! tahu tak betapa sakitnya aku dengar semua tu.  Orang yang aku cintai boleh jatuh cinta dengan sahabat aku.  Aku tak boleh terima semua tu!!!” Fitriah seperti hilang akal dengan menjerit.  Habis semua barang diatas meja dihempaskan.

“Fitt..bawak mengucap. Sabar Fitt.. Janganlah macam ni.  Aku tak boleh tengok kau sedih macam ni.  Maafkan aku  Fitriah, aku betul-betul tak sangka benda macam ni akan berlaku.” Air mataku mengalir.  Mulutku tidak henti-henti memujuk Fitriah.  Aku cuba mendekati dia perlahan-lahan.

“Kau ingat dengan ucapan maaf kau semuanya akan kembali normal.  Tak Tizz, tidak…Adam tetap takkan kembali pada aku.   Dia akan pergi jauh.  Kau tahu tak?  dia akan tinggalkan Malaysia!!!  Dia tak nak duduk sini lagi!!  Semuanya sebab kau!! Pasal kau lah Adam akan tinggal kan aku!!”tunjuk Fitriah.  Dia menangis.

Aku teresak-esak melihat dia.  Adam nak pergi jauh sebab aku.  Dia akan tinggalkan Malaysia.  Ya Allah 
apa yang telah aku buat?  Kenapa macam ni sekali aku diduga.  Aku terduduk di hadapan Fitriah.  Lemah longlai badanku saat ini.

“Sudahlah, tak payah kau nak menangis depan aku.  Aku benci kau, tau tak!  Mulai sekarang aku tak nak tengok muka kau lagi.  Aku nak kau kemas semua barang kau dan keluar dari rumah aku hari ni jugak.  Dan kau, aku pecat serta-merta dari sekarang.  Berambus!!!!!”jerit Fitriah.
Pedih aku mendengar kata-kata Fitriah.  Aku tak sangka yang dia akan jadi marah sebegini.  Dia betul-betul membenci aku.  Aku meraut muka.  Wajah Fitriah yang sedang berdiri kupandang.

“Fitt…maafkan lah aku.  Demi Allah aku tak pernah terniat sekalipun nak rampas Adam dari kau.  Aku sayangkan kau Fitt, bagi aku kaulah kawan aku dunia dan akhirat.  Maafkan aku Fitt andai aku yang bersalah sebab semua ni.”

“Sudahlah Tizz, aku tak mahu dengar apa-apa lagi.  Cukuplah dengan apa yang kau dah buat sekarang.  Aku benci!” pedih hatiku mendengarnya.    Fitriah mengambil kunci keretanya dan bergegas untuk keluar.  Dia berpaling semula melihatku.

“Tizz Alisya… mulai hari ini hubungan aku dengan kau putus!   Kita bukan sahabat lagi.  Anggap saja yang 
kita berdua ni musuh yang paling ketat!!”sinis Fitriah.  Fitriah bergegas keluar tanpa berlengah lagi.   Dia terus menaiki kereta dan pergi dari rumah.

Mendengarkan bunyi kereta Fitriah yang semakin hilang membuatkan aku pilu.  Air mataku mengalir dengan lebih lebat.  Kata-kata Fitriah sebentar tadi ibarat sembilu yang menghiris dada. Persahabatan kami yang erat akhirnya berakhir kerana cinta terhadap seorang lelaki.  Kerana lelaki… 

“Maafkan aku Fitriah kerana tak nak dapat menganggap kau sebagai musuh.  Dan walaupun kau benci pada aku, tapi bagi aku kau tetap kawan dunia dan akhirat.  Aku akan tetap mengingati kau sahabatku.  Aku harap satu saat kau akan dapat memaafkan aku…..”bisik hati kecilku. 

 Semakin lebat hujan di luar, makin banyak air mata yang mengalir ke pipi.  Aku kalah dengan perasaan sendiri.  Permainan takdir betul-betul membuat aku sengsara.   Rasa kehilangan sahabat lebih menyakitkan dari cinta.   Aku betul-betul terseksa.  Jiwaku hancur dalam sekelip mata.

“Ya Allah Kau kuatkan keimanan dalam diriku agar aku tidak terikut dengan bisikan syaitan ini.  Tabahkan aku dengan setiap dugaan Mu .”aku mengaminkan doa.

Aku bingkas bangun dan pergi ke bilik.  Aku harus mengemas barang-barangku secepat yang mungkin.  Aku tidak mahu berlama-lama lagi.  Aku takut Fitriah akan tambah membenci aku nanti.  Secepat kilat aku mengisi segala baju-baju ke dalam beg.  Beberapa barang-barang lain aku masukkan ke dalam kotak.
Aku tidak membawa banyak barang penting di sini kerana Fitriah telah menyediakan semuanya di dalam rumah.  Pilu hatiku mengingatkan Fitriah.  Sememangnya aku tidak layak untuk berkawan dengan dia.  Dia terlalu baik sangat pada aku..

Setelah selesai mengemaskan barang dan memasukkan ke dalam kereta, aku mengambil keputusan untuk menulis satu nota ringkas buat Fitriah.  Dalam hati aku mengharap yang satu saat Fitriah akan dapat melupakan segala-galanya dan kami akan kembali berkawan semula.  Aku akan berdoa untuk itu.  Aku percaya doa yang tulus dan ikhlas akan dimakbulkan Allah s.w.t.

Setelah selesai menulis nota dan meletakkannya diatas meja.  Aku bergegas keluar dan mengunci pintu rumah.  Kunci rumah aku letakkan di bawah pasu.  Biar Fitriah mudah mencarinya nanti.  Sebak hatiku meninggalkan rumah.  Kenangan yang terlalu indah untuk aku tinggalkan .  Segala memori aku dan Fitriah banyak tersimpan disini.  Aku tidak mungkin dapat melupakan.  Takkan pernah….
Hujan yang lebat diluar, mendinginkan tubuhku.  Aku masih belum dapat berfikir kemana aku harus pergi selepas ini.  Perlahan-lahan kakiku melangkah kea rah kereta.

Aku masuk ke dalam kereta.  Enjin kereta dihidupkan, aku mengundurkan kereta keluar dari perkarangan rumah perlahan-lahan.  Mataku tertancap sesuatu  di taman kecil.  Aku terus menekan brek secara mengejut.
Cepat-cepat aku keluar dari kereta.  Segaris senyuman yang hambar terletus di bibirku.  Lapan pasu pokok bunga ros pemberian Adam sedang mekar indah di taman kecil ini.  Aku menangis lagi mengingatkannya. Teresak-esak suaraku.  Air mata tidak henti-henti mengalir.


Perlahan-lahan tanganku  mengambil pasu bunga tersebut dan memasukkan ke dalam bonet kereta.  Biarlah aku menyimpan sesuatu yang indah dari dia.  Sekurang-kurangnya ini akan mengingatkan aku terhadap satu cinta yang tak kesampaian.  Setelah itu aku kembali masuk ke dalam kereta.  Akhirnya dengan perlahan keretaku meninggalkan rumah Fitriah meredah hujan yang lebat tanpa satu arah tujuan.

Thursday, 20 February 2014

MEMORI CINTA KITA 21

BAB 21


“Kau tengok cerita apa tu Fit, khusuk semacam je?”tanyaku pada Fitriah yang sedang asyik menonton televisyen.  Aku duduk di sofa bersebelahan dengan dia. Fitriah tergelak-gelak menonton rancangan di TV.

“Aku tengok rancangan korea ni, Running Man.  Kelakar tau.”

Running Man? Melihatkan keasyikan Fitriah di TV aku turut sama-sama terjebak menontonnya.  Akhirnya dengan aku sekali terpaku depan TV.  Memang kuat pengaruh betul rancangan ni.  Rancangan korea katakan…..

“Gilerlah, si Jong Kook buat kawan dia macam tu.  Sakit tu.”gelakku.  Memang kelakarlah rancangan Running man ni.  Macam-macam aktiviti yang mereka kena buat.  Selebriti jemputan pun giler-giler kena dekat mereka.  Salute lah kalau Malaysia boleh buat rancangan yang best macam ni.  Panjang betul episode rancangan ni.

“Hah baru kau tahu cerita ni best.  Tu lah dulu aku ajak kau tak nak.  Asyik layan novel je kerja kau.  Baru kau rasa penangan cerita Korea ni macam mana. Best kan…”cebik Fitriah

“Hello…ni bukan cerita okay, ni rancangan hiburan.  Tak sama macam drama korea kau tu.”juihku pada VCD Korea Fitriah yang tersusun kemas di almari sebelah TV.

“Sama je tak ada beza pun, Korea jugak.”

“Tak…..” aku dan Fitriah berpandangan.  Kami tergelak besar.

Setelah rancangan tamat, Fitriah menutup televisyen.  Dia duduk menghadap aku.  Aku pelik melihat kelakuannya yang tiba-tiba macam kucing miang memandang aku.  Tersipu-sipu dia malu.  Hai la….cerita apa pula dia nak cerita dekat aku malam ni.  Tengok gaya macam hot story je?

“Beb…..”leret Fitriah.

“Apa.”

“Aku dah nak bertunang.”

“Owh.” Aku mengangguk.  Kemudian Aku pandang Fitriah balik.  Apa dia cakap?

“Kau cakap apa tadi beb? Ulang balik.”soalku. 

“Aku nak tunang dengan Adam. Bulan depan.”tutur Fitriah riang.

Aku terdiam. Speechless. Tak tahu nak kata apa.  Semalam baru je aku jumpa Adam dia tak cakap apa-apa pulak pasal ni.  Hari ni  boleh pulak Fitriah kata dia nak tunang dengan Adam.  Confuse sekejap.  Ya Allah kenapa hatiku tiba-tiba berdegup kencang pulak.

“Kau ni macam tak happy je dengar aku nak bertunang?  Kau tak suka ke?”

Tersentak dengan pertanyaan Fitriah.“ Eh tak adalah, aku tumpang bahagia dengar kau nak bertunang. "Tahniah.”luahkku perlahan.  Hatiku rasa berat nak lafazkan.  Tak terkeluar suaraku tiba-tiba.  Kenapa perasaanku berubah mendadak macam ni?

Fitriah mengangguk. “Terima kasih. Aku rasa lega dapat kongsi kegembiraan aku dengan kau tau.  Kau lah kawan aku dunia akhirat.”terasa pedih hati mendengar kata-kata Fitriah.   Aku cuba senyum.

“Sama-sama.  Aku doakan kau dengan Adam bahagia sampai ke akhir hayat.  Bila korang rancang semua ni?  Tak bagitahu pun dekat aku.”sedihku sengaja.

“Alah tak rancang pun sebenarnya baru je lagi.  Semalam, family Adam dinner dekat rumah aku.  Family kami yang arrange kan semua ni, aku ikut je.  Adam pun belum tahu lagi soal ni tau.  Mungkin hari ni baru family dia bagitahu.”

Dinner dengan Family?  Tapi semalam Adam cakap Fitriah keluar jumpa kawan?  Adam tipu aku? Kenapa dia tipu aku?

“Dia tak tahu? So…semalam  tu Adam tak pergi rumah kau lah.  Jadi dia memang betul-betul tak tahu lah korang kena bertunang ni?”

“Tak.  Tapi mana kau tahu yang Adam tak ada semalam?”tanya Fitriah.  Aku pandang Fitriah.  Serba-salah nak cakap.  Habislah kalau Fitriah tahu semalam aku keluar dengan Adam.  Nanti dia fikir lain pulak pasal kami.

“Kan kau cakap Adam tak tahu lagi korang akan bertunang.  Maknanya semalam dia tak ada lah kan? Biasalah aku ni memang pandai teka bab-bab tu semua.”aku cuba memutar- belitkan fakta.  Harap Fitriah takkan perasan.

“Aaah…lupa pulak. Ermm….beb seronok tau rasa nak bertunang ni.  Betul-betul rasa bahagia sangat dapat lelaki sebaik Adam tu.  Aku rasa bertuah sangat-sangat.  Nanti masa aku bertunang, kau kena tolong aku tau.  Semua benda kita kena uruskan sendiri.  Aku nak kau jadi pengapit aku bila kahwin nanti.  Boleh kan?”

Aku mengangguk perlahan.  Rasa bersalah menipu Fitriah tadi.  Harap-harap Fitriah faham kenapa aku tidak berterus-terang.  Fikiranku teringat kembali pada Adam.  Hatiku jadi sayu.

“Beb… agak-agak nanti warna apa yang cantik untuk jadi tema ye?  Aku tak pandailah nak pilih warna lah.  Beb.... kau dengar tak apa aku cakap ni?” tegur Fitriah.

Aku memandang wajah Fitriah.  Aku senyum. “Tak apa nanti kita pergi survey sama-sama dekat kedai.  Lepas tu baru kita decide warna apa yang sesui untuk kau, okay.”

Fitriah mengangguk.  “Kalau macam tu aku online sekarang.  Tengok butik mana yang lebih meletop!  Tunggu kejap yeak.”   Tak habis-habis mulut Fitriah bercerita itu ini mengenai perancangan pertunangannya. 

Kami sama-sama memberi pendapat dan mula membayangkan majlis itu.  Sepanjang malam aku dan Fitriah berborak.  Aku tersenyum memandang Fitriah yang berseri-seri bila bercerita mengenai hubungannya dengan Adam.  Rasa bahagia melihat sahabatku bakal mendirikan rumah tangga tak lama lagi.  

Aku yakin Adam seorang lelaki yang baik untuk Fitriah.  Sepanjang aku berkenalan dengan Adam pun lelaki ini memang baik.    Lagipun mereka berdua ni memang sepadan dan secocok.  Aku yakin Fitriah mesti akan bahagia bila berkahwin nanti.   Semoga Allah memberkati hubungan mereka berdua hingga ke Jannah….Amin.
***************************************************

Bunyi mesej masuk dari handphone mengejutkan aku.  Aku menyeluk kocek seluar mengeluarkan hadset.  Peti inbox aku buka.   Adam?

Jumpa aku dekat taman permainan dekat taman kau.  Aku tunggu kau dalam pukul 5.~ Adam

Bulat mataku membaca mesej dari Adam. Laju tanganku membalas kembali.

Ada apa nak jumpa?~ aku

Aku menunggu balasan dari Adam.

Tittt….bunyi mesej masuk sekali lagi.  Cepat-cepat aku tengok.

Ada hal penting pasal kau dan aku.~ Adam.

Pasal aku dengan dia?  Aku menelan air liur.  Apa yang Adam cuba nak sampaikan ni?

Kenapa dengan kita?  Aku tak berminat nak pergi.~ Aku

Hatiku mula dipagut risau.  Mesej kembali berbunyi.

Pastikan kau datang kalau tak aku datang dekat kedai .  Assalamualaikum..~ Adam….

 Berdesir mulutku membaca mesej dia. Sekali lagi aku melihat mesej dia.  Aku memandang jarum jam di dinding kedai.   Lagi setengah jam jarum akan menunjukkan angka lima.  Aku serba salah untuk pergi berjumpa Adam.   Apa yang harus aku cakapkan pada Fitriah.  Takkan aku nak beritahu hal yang sebenar.  Adoi peningnya kepala aku…..

Aku mengeluh perlahan.

“Kalau aku tak pergi, Adam pulak datang sini.   Hisykkk….mamat ni nak apa entah jumpa aku.  Dia ni tak fikir ke perasaan Fitriah tu.  Dahlah nak bertunang.  Ape dia nak cakap dengan aku eak? Kenapa sejak dua menjak ni perasaan aku jadi lain macam eak?   Takkanlah aku dah sukakan Adam.  Isykkk.... giler lah mati aku dengan Fitriah nanti. Tapi...Adam suka dekat aku jugak ke?  Kalau betul maknanya selama ni hati aku tak tipulah.   Ya Allah….janganlah semua tu berlaku.  Aku tak nak kehilangan seorang kawan baik kerana seorang lelaki.”  Aku resah melihat rum jam yang kian laju bergerak. 

“Woit  Tizz!!!!!” sergah Fitriah dari belakang.

“Ya Allah….” Aku mengusap-usap dadaku berulang kali.  Terkejut aku disergah Fitriah.

Fitriah tergelak melihat reaksi dariku. “Sorry….kau buat apa dekat tepi ni.  Dari tadi aku tengok asyik cakap sorang-sorang je.  Kau okey tak?”

Aku pandang muka Fitriah.  Tak terkata, apa yang harus aku ucapkan pada dia.  Takkanlah aku nak cakap 
‘Fitriah boleh tak aku keluar kejap jumpa Adam’ memang alamat cari matilah jawabnya nanti.  Fitriah ni boleh tahan orangnya kalau mengamuk.  Adoi….ape dosa aku hari ni tak ada angin tak ada khabar tiba-tiba datang masalah pulak ni.  Isykk….

“Err….sebenarnya..aku….er…aku.”

“Aku apa?”

“Aku nak balik rumah, sakit perutlah.” Tipuku.  Itu yang dapat aku fikirkan sekarang.

“Lah ye ke…kau okey tak ni.  Kenapa tak cakap awal-awal.  Kau balik dulu nanti lepas tutup kedai aku balik pulak.”

“Thanks Fitt….kau baik sangat.”hibaku.  Macam ni mana sampai hati nak menipu.  Semua ni pasal Adam lah.  Tak pasal-pasal aku jadi penipu.

“Ek eleh…tak payah nak jiwang lah beb.  Selalu tak pernah-pernah pun.  Dah pergi balik.  Aku nak pergi layan customer yang baru datang tu.” 

Aku memerhati Fitriah dari jauh.  Kegembiraan diwajahnya membuatkan aku rasa serba salah untuk membohongi dia.  Aku menarik nafas panjang.  Aku harus selesaikan perkara dengan Adam dahulu.  Cepat-cepat kakiku melangkah pergi. 

*******************************************************

Aku memberhentikan keretaku di depan taman permainan di kawasan perumahanku.  Kereta Adam berada tidak jauh dari situ.  Cepatnya dia datang.  Aku  turun dari kereta.  Mendongak kepala memandang awan. Mendung dan gelap.   Macam nak hujan rasanya kejap lagi.

Aku bergegas berjalan kearah Adam sedang menunggu di sebuah bangku tidak jauh dari situ.  Aku mendekatinya.

“Assalamualaikum…”sapaku.

“Waalaikumsalam.”

“Kenapa kau nak jumpa aku dekat sini?” soalku sambil berdiri.  Adam mengangkat wajahnya mendongak padaku. 

“Duduklah dulu.”

Aku mengambil tempat disebelah Adam.  Dia tersenyum hambar memandang aku.  Aku diam menanti kata-katanya.  Apa yang lelaki ini mahukan dari aku?

“Aku akan bertunang dengan Fitriah tak lama lagi.”ucap Adam setelah beberapa ketika dia berdiam diri.

Terdiam mulutku.  Rasa pedih mendengar  ayat itu tapi aku harus kuat.  Tiada yang lebih penting dari  melihat kegembiraan sahabat baikku sendiri.  Aku tidak boleh lemah dengan perasaan yang aku sendiri tak pasti hala tujunya.

“Tahniah.  Pasal tu aku dah tahu pun. Fitriah dah bagitahu aku dulu.”senyumku. 

Berkerut dahi Adam memandang aku “Kau tak rasa apa-apa ke bila dapat tahu tentang semua ni?”

“Rasa apa?” aku pandang dia.  Aku seperti dapat mengagak apa yang Adam maksud kan sekarang.  Betul lah kata hati aku tentang dia selama ni.  

“Aku cintakan kau.”Adam memegang bahuku menarik aku kearah dia.  Aku menundukkan wajah.  Ya Allah..pedihnya bila dengar ungkapan cinta dari dia.  Rasanya tidak sama seperti aku mendengar luahan cinta dari Abang Hafizul.  Aku jadi sakit mendengarnya. Sakit sangat…

Aku pura-pura ketawa.  “Kau buat lawak kelakar ke?  Sebab ini memang melucukan.”

Adam merengus geram. “Aku tak buat lawak, aku memang betul-betul cintakan kau.  Dari pertama kali kita jumpa sampailah sekarang, cinta aku masih lagi buat kau.” Adam meluahkan rasa hati dia.  Aku boleh nampak keikhlasan yang terpancar pada matanya.

Lidahku kelu untuk berbicara.  Di mataku terbayang-bayang wajah Fitriah yang sedang tersenyum.  Wajah mak dan abah di kampong.   Wajah Abang Hafizul….  Aku menarik nafas.  Aku tidak boleh lemah. Aku menutup mata cuba mencari semangat.

“Aku tak cintakan kau.  Aku langsung tak ada perasaan dekat kau.  Lupakan semua ni. Hubungan kita takkan kemana-mana. ” Aku menolak tangannya dari bahuku.  Sekalipun aku tidak memandang wajah dia.  Aku tak kuat.

“Kau tipu, riak wajah kau menunjukkan yang sebaliknya.  Kau juga rasa apa yang aku rasa kan? Layanan kau pada aku selama ni.  Semua tu dah jadi bukti yang kau juga ada perasaan pada aku..  Aku yakin hati kau dah mula mencintai aku sekarang.  Jangan cuba nak menipu Alisya.  Aku boleh lihat dari wajah kau sekarang!!”

Aku cuba menahan air mata.  Aku tak boleh menangis.  Aku kena kuat melawan perasaan ni.

“Adam selama ni aku anggap kau macam kawan je.  Tak lebih tak kurang dari itu.  Aku layan kau dengan baik sebab kau boyfriend Fitriah.  Tak ada maksud lain pun.  Maafkan aku kalau kau salah anggap pada layanan aku selama ni.” Tuturku lembut.  Aku kena menyakinkan Adam yang aku juga tidak menyintainya.  Biarlah Adam membenci aku asalkan Fitriah bahagia.

“ Bohong semua tu!!! Cuba kau pandang wajah aku sekarang, betul ke kau tak cintakan aku? Aku tanya kau ni betul ke kau tak cintakan aku!  Pandang aku bila bercakap!!!” Adam menarik bahuku untuk rapat padanya.   Dia mengoncangkan bahuku berulang kali meminta penjelasan.

Terkejut aku dengan tarikan dan jeritan dari dia.  Aku jadi takut untuk memandang wajah dia yang sedang marah.  Aku tahu dia terluka dengan jawapan dari aku.

“Lepaskan aku lah Adam!!! Sakit kau buat  aku macam ni!!” Aku cuba menarik tanganku dari genggaman Adam.  Namun tangan Adam masih kuat mencengkam tanganku.

“Habis hati aku yang sakit ni macam mana?  Aku betul-betul cintakan kau Alisya.  Aku tak boleh terima perempuan lain dalam hati aku.  Kau faham tak macam mana seksa bila aku tak dapat luahkan semua ni pada kau dulu.  Tahu tak macam mana gembiranya aku bila dapat berdua dengan kau selama beberapa bulan ni.  Aku betul-betul bahagia dan aku yakin kau lah jodoh yang ditetapkan oleh Allah untuk aku. 
  Kenapa kau tak boleh terima aku?  Jawablah!!!” tajam mata Adam memandangku.

Nafas ditarik.  Aku kena kuat.  Demi kebahagian semua orang disisiku aku kena lepaskan semuanya.  Aku yakin dengan keputusanku.

“Aku dah janji untuk berkahwin dengan orang lain.   Dia sedang tunggu aku sekarang.  Aku tak nak lukakan hati dia dan hati Fitriah."
“Hati aku macam mana? Ianya lebih luka dan parah.”

Aku menutup mata.  Kata-kata Adam lebih menghiris perasaan aku.

“Adam, kau ada Fitriah dalam hidup kau, hargai lah cinta dia.  Dia pasti bahagiakan kau.”

“Kenapa kau cakap macam tu?  Kenapa kau menafikan cinta kita? Kenapa kau nak berkorban demi Fitriah sedangkan kau cintakan aku!  Jawab soalan aku ni!!”jerit Adam.  Adam seperti tidak mampu menahan rasa sakitnya lagi.

“Aku tak nak tengok sahabat aku bersedih sebab aku.  Aku tak nak hidup bahagia atas penderitaan orang lain.  Kau faham tak?  Tolonglah jangan paksa aku buat semua tu.  Aku tak boleh cintakan kau Adam, kita takkan bahagia kalau bersama.  Tak boleh…” aku menangis.  Air mata yang ditahan keluar mencurah-curah.  Pedihnya hati.



“Kenapa kau kau sanggup buat aku macam ni?  Kenapa kita kena berkorban.  Tak, aku tak boleh terima semua ni.  Aku tak boleh mengahwini Fitriah.  Takkan!!”

Aku mendekati Adam memandang wajah dia. Tangannya aku genggam.

“Adam Fitriah cintakan kau.  Aku yakin kau pasti bahagia nanti, dia akan menyayangi kau lebih dari segalanya.  Percayalah…”

“Aku tak cintakan Fitriah.  Dia pilihan keluarga aku, lagipun selama ni aku anggap dia macam adik aku sendiri. Mana mungkin aku boleh jadikan dia isteri, sedangkan hati aku adalah milik kau.  Aku hanya mencintai kau!   Hanya kau…” Adam mengangkat daguku memandang dia.  Aku lihat ada air mata yang mengalir di tubir matanya.  Aku lemah sekali lagi.

"Cinta tak semestinya memiliki.  Kadang-kadang kita kena lepaskan cinta tu pergi.  Kita kena redha yang kita tak ada jodoh berdua." teresak-esak aku menangis.

Hujan mula turun renyai-renyai.  Awan semakin gelap.

“I love you Alisya…I really, really love you.”bisik Adam.  Dia memelukku.

Aku menangis dalam pelukan Adam.  Lama kami berkeadaan begitu.  Beberapa ketika aku seperti tersedar dari mimpi. Aku kena kuat melawan semua ni.    Cepat-cepat aku melepaskan diri dari pelukan Adam.  Adam tidak mahu melepaskan.  Malahan dia semakin memeluk tubuhku erat.

“Let me go Adam…ini salah, kita tak boleh macam ni.  Kau tu bakal tunang Fitriah. Bakal tunang kawan baik aku.   Please… lepaskan aku….”Aku berjaya memboloskan diri dari pelukan Adam.  Aku menahan tangisan dari mengalir lebat.

Adam menarik tanganku.  Aku menoleh.

“Alisya kita saling mencintai antara satu sama lain, kenapa kau nak mengelak dari semua ni?  Percayalah...berikan aku peluang untuk cinta kita.  Aku yakin tiada apa pun yang akan dapat memisahkan kita nanti.  Kita mulakan hidup baru bersama.  Aku janji dengan kau. Semuanya akan aku uruskan nanti.  Please…sayang.”

Aku menutup mata, pedih mendengar ayat yang keluar. 

“Sudahlah Adam, lupakan semua ni.  Mulakan hidup baru kau dengan Fitriah.    Dia sangat cintakan kau.  Aku yakin kau pasti bahagia nanti.  Percayalah…”

“Tak mungkin!!! Aku tak nak korbankan hidupku aku untuk hidup dengan orang yang aku tak cintai.  Itu akan membuatkan hidup dia lebih terseksa.  Tak ada rumah tangga yang akan bahagia kalau pasangannya tidak mencintai antara satu sama lain.  Ianya akan musnah!!!”

“Tapi kau boleh cuba untuk mencintai dia kan? Tak ada yang mustahil dalam dunia ni.”

Mata Adam tajam memandang aku.

“Hubungan kita pun tidak mustahil.   Aku akan tunggu kau Alisya, sampai kau sedia untuk cintakan aku.  Aku yakin masanya akan tiba.  Satu saat kau pasti akan jadi milik aku.  Selamat tinggal.”

Adam terus melangkah meninggalkan aku sendirian.  Dia langsung tidak berpaling sedikit pun Wajahnya tampak kecewa dengan keputusanku.   Aku hanya mampu melepaskan dia pergi dari pandanganku.  Kenapa harus begini jadinya.  Salah aku ke kerana terlalu mudah memberi harapan kepada lelaki?  Salah aku ke kalau aku tak biasa menyakiti hati orang lain?  Salah ke kalau aku ingin melihat sahabat aku bahagia?  Kenapa Allah duga aku dengan cinta macam ni.

“Maafkan  aku Adam, cinta itu bukan untuk kita.  Sesungguhnya takdir menginginkan sesuatu yang lain dalam cerita kita.  Biarkanlah cinta kita menjadi memori terindah dalam kehidupan ini.  Maafkan aku kerana tidak bisa mencintai dan meluahkan rasa cinta pada kau.” Bisikku perlahan.  Aku terduduk.  Menangis kepiluan.  Hujan yang semakin lebat turun menambahkan lagi kepedihan dalam hati aku.  Aku menangis seiring dengan air hujan yang mencurah-curah membasahi bumi.


Tuesday, 18 February 2014

MEMORI CINTA KITA 20

BAB 20

“KALAU setakat nak makan sate dekat sini baik tak payah ajak aku.”jelingku geram.  Ingatkan Si Adam ni nak ajak makan kat hotel atau restoran mewah ke?  Rupa-rupanya makan sate kat kajang ni je.  Hampeh betul doctor ni, kedekut!  Patutlah beriya-iya ajak aku temankan dia.  Kalau dengan Fitriah jangan haraplah Fitriah nak makan tempat macam ni.  Lagi satu Fitriah mana suka ada asap-asap macam ni.  Memang tak kan jejaklah kaki minah tu ke sini.

“Bersyukurlah dengan apa yang ada, jangan pandai nak merungut je.  Untunglah aku nak belanja makan kat sini tau, kau ingat sate kajang ni murah ke?”

Aku mencebik, “Aku tekankan dekat sini, bukan aku yang suruh kau belanja aku.  Kau sendiri yang paksa aku untuk ikut kau makan dekat sini.  So…nasib kau lah kalau sate ni mahal ke murah ke, ada aku kisah.”

Berdesir mulutnya mendengar kata-kataku. “Mulut kau kalau tak menjawab, tak boleh ke?  Dari dalam kereta tadi, kerja kau asyik nak membebel je.  Bernanah telinga aku dengar. Kau tak reti stop eak?”

“Mulut aku, suka hati aku lah nak cakap ke tak. Sapa suruh kau ajak aku!”

“Eiiiiiiiii!!!!!”geram Adam.  Aku menjelirkan lidah pada dia. Geram betul! Rasa nak sepak-sepak je muka handsome dia tu.

Kami berdiam diri sebaik saja pelayan datang membawa pesanan yang diorder tadi.  40 cucuk sate ayam dihidangkan diatas meja.  Bulat mataku.  Nafsu makan memuncak-muncak naik ke tekak.  Tanganku laju saja ingin mengambil secucuk sate.

“Ouch!”Adam menampar tanganku.   Aku memandang dia geram.  Apesal dia ni tampar tangan aku pulak ni?  Sakit tau.

“Lain kali baca doa makan dulu barulah tak makan dengan syaitan.  Dah besar pun tak reti-reti ke?”

Aku menjeling Adam.  Dia ni kalau tak sarkastik bila bercakap tak boleh ke?  Tapi betul lah apa dia cakap tu.  Kau ni Tizz betul-betul senonoh lah, kan dah dapat tazkirah free tadi.

Setelah membaca doa, kami mula makan sate ayam tadi.  Beberapa cucuk sate telah selamat masuk ke dalam perutku.  Sedapnya….sate kajang ni.  Patutlah ramai yang makan dekat sini.  Tak rugi datang…
Adam tersenyum sinis memandang aku.  Geram aku tengok senyuman dia tu.  Menyakitkan hati!

“Yang kau tersenyum-senyum macam kerang busuk ni kenapa?  Dah giler!”Aku mengetapkan bibir memandang dia.

Adam mencebikkan bibir, “Tadi orang ajak makan sini, beriya-iya tak nak ikut.  Sekarang ni makan tak pandang kiri kanan pulak.  Sedap sangat ke sate tu sampai mulut dah tak reti bercakap dah?”sindir Adam.

“Boleh lah….aku ni tak nak membazir je, sebab tu lah aku makan.  Nanti kalau membazir jadi sahabat syaitan pulak kan…”

Adam tergelak besar mendengar kata-kataku.    Kami berdua makan dengan berselera sekali.  Aku dan Adam berlumba-lumba menghabiskan sate. Berebut-rebut kami memakannya.  Aku betul-betul kekenyangan hari ni.   Dengan sate yang besar tu memang berbaloilah harga yang dijual.  Lain kali bolehlah aku ajak Fitriah makan dekat sini.

“Dah berapa lama kau dan Fitriah berkawan?”soal Adam tiba-tiba.  Dia bersandar di kerusi memandang aku.  Pelik aku dengar soalan dia.  Tak pernah-pernah tanya pun.  Tiba-tiba je hari ni.

“Dua tahun, sejak dari Politeknik lagi.”ringkasku.

“Kirannya baru lagilah.” Angguk Adam.  Dia diam seperti memikirkan sesuatu.

“Adik beradik kau berapa orang?”soalnya lagi.

“Tiga orang, dua lelaki dan seorang perempuan. Aku yang terakhir.” Kenapa dia nak tahu pasal aku eak?

“Kau anak bongsulah ni eak? Patutlah mengada-ngada semacam.”

Bulat mataku.  Amboi mulut dia mengata aku depan- depan lagi, memang ada yang kena cucuk lidi sate ni karang.  Aku kunyah-kunyah sate dengan geram di depan dia.  Adam tergelak.

“Sorry…gurau je janganlah marah.  Kenapa kau ni selalu je emosi.  Chill lah girl…”

“Nak chill pergi Chili lah. Huh!” bikin panas je aku tengok bro ni.  Memang aku cili jugak mulut  dia kejap lagi.

“Okay nanti kita pergi sama-sama eak?”gelak Adam.  Muncung bibirku.  Dia ni ada saja nak dibahas dengan aku.

“Kenapa kau tiba-tiba tanya pasal semua ni, selalu tak pernah pun?”

“Tak ada saja je nak tahu.  Lagipun kau kan kawan Fitriah, jadi mestilah aku berminat nak tahu segal-galanya. Makanlah sate tu, banyak lagi ni.”  Adam tersenyum memandangku.

Terangkat keningku. Lain macam je bunyi dia. Macam tak je. Hmm…..lantak dialah. Aku meneruskan aktiviti makan aku yang tergendala tadi.

“Suka tengok kau marah, makin comel lah.  Thanks sebab temankan aku makan hari ni.” ucap Adam tak selepas itu.  Nampak keikhlasan di mata dia.

Aku mengangguk.  “Sama-sama.  Dan terima kasih sebab paksa aku temankan kau jugak.” Sindirku.
Adam tersenyum.   

Kami bingkas bangun setelah selesai makan.  Adam membuat  pembayaran di kaunter.   Aku berdiri di luar kedai menunggu dia.  Mataku mula memerhati orang yang lalu lalang masuk.  Salah satu meja di luar yang ramai dengan orang, menarik perhatianku.  Mataku  bulat memandang salah seorang yang berada di dalam kumpulan itu.

Angah? Apa dia buat dekat sini? Alamak matilah aku kalau dia nampak aku datang dengan Adam ni.  Mampus aku kejap lagi.  Aku memalingkan muka ke arah lain.  Mulut terkumat-kamit membaca doa.

“Dah settled semuanya, jom balik.”sapa Adam tiba-tiba.

Aku tersentak.  Cepat-cepat aku menarik tangan Adam meninggalkan kedai tadi.  Harap-harap Angah tak perasan aku dekat situ.  Dalam banyak-banyak tempat, kenapa dekat sini jugak aku boleh terserempak dengan Angah.  Sengal!

“Nanti! Nanti! Kenapa tarik-tarik tangan ni?  Kau okey tak ni?  Kenapa muka kau tiba-tiba nampak pucat semacam je?” Adam gelisah melihat aku yang diam memandang dia.  Dia mengengam tanganku dan mengusapnya.   Tergamam diriku dengan tindakan dia.

Mataku seakan-akan terpaku melihat dia yang memandang aku. Kami saling bertatapan diantara satu sama lain. Beberapa saat kami berdiri begitu.   Bunyi hon kereta yang lalu di jalan menyedarkan aku dan Adam.  Aku dan dia cepat-cepat berpaling kea rah yang lain.  Aku menarik nafas.

“Err…Jom lah balik.  Dah malam sangat ni.”ucapku teragak-agak.  Adam mengangguk.  Dia membukakan pintu kereta.   Cepat-cepat aku memboloskan diri masuk kedalam kereta.  Aku memegang dada.  Strange.  Jantungku seakan-akan terhenti sebentar tadi.  Ya Allah jauhkan lah aku dari mengalami rasa yang sungguh dasyat itu.  Sungguh aku tak kuat untuk menghadapinya nanti.

**********************************************************************

“Kenapa tak hantar aku balik terus.  Nak buat apa datang dekat sini?” soalku sebaik saja kereta Adam berhenti di tengah-tengah jambatan Putrajaya ni.  Adam ni selalu buat sesuatu perkara di luar jangkaan.  Entah apalah motif dia?

“Kita duduk sini kejap, aku nak tengok pemandangan jambatan Putrajaya pada waktu malam.  Dah lama tak tengok.   Jomlah cantik tau.” Ajak Adam.  Dia segera keluar meninggalkan aku di dalam kereta.  Aku terpinga-pinga melihat kelakuan dia.  Tanganku laju membuka pintu kereta.  Gila apa Adam ni berhentikan kereta dia dekat tengah-tengah jambatan.  Nak mati ke!

“Adam tunggulah kejap.  Pintu kereta ni tak kunci ke?” jeritku.  Adam berpaling ke belakang. Alarm keretanya ditekan.  Aku mendekati Adam dan berdiri di sebelahnya.

“Cuba tengok jambatan ni, panjang dan lebar.  Banyak orang lalu dekat sini, tapi jambatan ni still utuh dan kukuh tergantung dekat sini.”

“Memanglah kukuh, jambatan ni dibuat dari konkrit jangan katakan kereta.  Lori kontena lalu pun dia masih tetap kukuh tau”

Adam tergelak.  Dia diam sekejap.

“Bagi aku jambatan ni melambangkan perjalanan hidup seseorang, setiap perjalanan pasti ada penghujungnya sama seperti jambatan ni yang pada akhirnya ada penghabisan di hujung.  Maksudnya sejauh mana kita melangkah dan sesukar mana pun pasti kita akan dapat tempuhi dan habiskan perjalanan tu.”

Aku diam mendengar kata-kata Adam.  Sejak bila mamat doctor ni pandai berfalsafah ni?  Pening pulak aku tengok dia berjiwang-jiwang atas jambatan. Tempat lain tak boleh ke?  Apelah malang nasib aku ikut dia kesini.  Malam-malam di atas jambatan memang kerja gila.  Ada jugak encik polis yang datang kejap lagi tangkap kami ni karang.

“Kau okey tak ni? sihat tak?” soalku. Risau kalau-kalau si Adam ni tersampuk apa-apa yang ada dekat sini.  Tempat ni boleh tahan ‘keras’ jugak.

“Aku okeylah, saja nak tenangkan perasaan sambil jalan-jalan dekat jambatan ni.  Jom kita depangkan tangan, cuba rasa angin yang bertiup ni.”
Bulat mataku dengar permintaan dia.  Tak rasa ragu-ragu langsung dia bercakap.  Parah dah mamat ni. 

 “Kau jangan nak buat kerja gila.  Tak pasal-pasal ada polis datang tangkap kita dekat sini karang.  Dah-dah  jom balik.  Malam-malam macam ni tak elok duduk dekat sini.” Tegahku.  Budak Adam ni makin mengada-ngada pulak dia dekat sini.  Dia ingat tempat ni konsert ambang merdeka apa?  Nak depang-depang tangan pulak.  Ada yang aku siku kejap lagi ni karang.

“Kau pergilah sana dulu, aku nak duduk sini sorang-sorang kejap.”suruh Adam.
Aku berjalan perlahan menuju ke kereta meninggalkan Adam.  Lelaki itu masih terpaku lagi di situ.  Aku hanya memerhatikan Adam dari jauh.  Entah apa lah yang difikirkan lelaki itu.  Dia nampk seperti sedang melepaskan satu beban di hatinya.  Wajahnya tampak lesu memandangku dari jauh.  Hatiku terasa berat dan gelisah melihat dia.

Setelah beberapa ketika, Adam berpaling ke belakang.  Dia berjalan kearah kereta dan masuk ke dalam. Enjin kereta mula dihidupkan.  Kami masing-masing terdiam seribu bahasa seperti tiada apa yang nak dicakapkan.  Sepanjang di dalam kereta, aku merasakan kepiluan dan kesedihan seperti sedang menyelubungi kami.  Entah apa yang berlaku, aku tak pasti.

Sebaik saja kereta berhenti di perkarangan luar rumah.  Adam memberhentikan kereta.  Aku terus melangkah turun.  Kereta Adam terus menderum laju meninggalkan aku.  Aku terpinga-pinga melihatnya.   Dia hanya pergi tanpa sepatah kata.  Kakiku masih terpaku disitu melihat keretanya berlalu pergi.  Perlahan-lahan bayangan kereta dia hilang dari pandanganku.

“Kenapa dengan dia hari ni? Dia nampak lain lah…”bisik hatiku.  Aku benar-benar keliru dengan segalanya.  Hatiku mula berasa tidak enak tiba-tiba memikirkan Adam.  Aku berdoa pada Allah semoga dia dijauhkan dari segala bencana dan musibah yang melanda. Amin….


  

About Me