topbella

Sunday 2 March 2014

MEMORI CINTA KITA 24


BAB 24

Hari ini aku dan Angah gerak balik ke kampong kami.   Pagi-pagi lagi dah mula bertolak.  Aku bawa baju ala kadar je.  Takut nak bawak balik beg yang besar tu.  Nanti  mesti mak syak sesuatu.  So… bawa beg kecil lagi selamat. Mak pun takkan banyak tanya.

 Sebaik saja melepasi pekan Rembau.  Kereta mula membelok masuk ke lorong rumah kami. Angah mula memperlahankan kereta.  Dia kemudian membrek secara  tiba-tiba.

“Kenapa Angah?” soalku terkejut  bila kereta tiba-tiba berhenti mengejut.  Nasib aku pakai tali pinggang keledar, kalau tak memang tercampak dekat depan.  Kusss…semangat.

“Cuba kau tengok dekat rumah kita tu?”tunjuk Angah.

Aku pandang tingkap luar.  Terjojol mata aku bila lihat ada dua buah khemah terpacak dekat halaman rumah.   Aku dan Angah berpandangan.

“Betul ke ni rumah kita? Angah kau  ni silap jalan kot. Bukan rumah kita ni. Rumah orang lain lah. Cepat patah balik.” ujarku yakin.  Angah ni kalau bawak kereta main masuk je lorong mana dia suka.

Berdesir mulut Angah, “Betul lah ni rumah kita, cuba kau tengok nama dekat peti box tu.  Mohd Aidil Harun, No 23 Taman seri Rembau.  Betul lah kan nama abah tu. Dalam taman ni abah seorang je yang nama macam tu.”

Aku mengangguk.  Aah rumah kami.  Tapi kenapa ada khemah pulak ni?  Mak dan Abah nak buat kenduri apa?

“Jom lah kita masuk dalam, duduk sini lama-lama buat apa.”

Angah mula gerakkan kereta masuk ke perkarangan rumah.   Mak dan Abah keluar menyambut kami.   Wajah mereka tampak gembira.  Dah sudah!  Entah-entah masin mulut Angah hari tu cakap yang Abah nak kahwin?  Mampus!

“Alhamdulillah sampai jugak kamu berdua ni.  Ingatkan tak balik.” Abah segera memeluk aku. Aku terpinga-pinga kejap.  Mak pulak dah kesat air mata dengan kain.  Ah sudah! Mereka dah tahu ke hal aku dengan Fitriah?

Terangkat kening aku pandang Angah.   Wei ape kes ni? kau bocor rahsia eak? Aku beri pandangan penuh isyarat pada Angah.

Angah geleng kepala berulang kali.  Aku tarik nafas lega.

Abah dan mak mengusap kepalaku.  Aku tambah pening tengok mereka berdua.  Apahal pulak ni, aku ada menang cabutan bertuah ke?  Aku buat isyarat mintak tolong pada Angah.  Help, I’m panic!

“Err…Abah kenapa ada khemah depan rumah kita. Abah dengan Mak buat kenduri nak pergi haji eak?” soal Angah.

Geram aku tengok muka Angah.  Tak ada soalan lain ke dia nak tanya.  Soalan kenduri haji pulak.   Dia ni dah lupa ke yang Abah dengan mak pergi haji tahun depan.  Takkan lah mak dan abah terlampau excited nak buat kenduri awal-awal kot?  Mestilah diorang buat tahun depan kan.  Hisyk tak boleh harap Angah ni.

“Eh tak lah, ni majlis special sikit.  Masuk dulu nanti abah cerita dekat korang berdua.” Ajak Abah.

“Tapi ……”aku cuba bersuara.

“Dah adik masuk dulu, tak elok cakap kat luar ni. Tak manis orang dengar.” Bidas mak.  Abah mengangukkan kepala.

Aku dan Angah mengekori mak dan abah masuk dalam rumah.  Benda penting apa yang diorang nak cerita.  Macam serius je bunyi.

Hampir terjojol mata kami berdua ketika melangkah masuk.   Ya Allah….penuh  segala barang dan dulang hantaran.   Sape pulak nak menikah ni?  Aku dan Angah berpandangan lagi.  Takkanlah abah nak kahwin lagi kot?

“Mak, abah apa cerita semua ni?”tunjuk Angah pada semua benda-benda tu.  Terserlah wajah panic dia.  Hah! Kau terkejut jantung tengok semua ni.  Entah-entah mak dan abah nak buat perkahwinan lagi sekali kot, macam cerita orang putih tu.  Dasyat lah kalau betul tekaan aku. Memang riuh sekampung lah bila dengar.

“Duduk dulu Angah, adik nanti abah cerita.”suruh abah.

Aku dan Angah duduk bersila di atas lantai.  Mak dan abah duduk menghadap kami.   Dalam hati  siap doa jangan kata yang Abah nak kahwin pulak.  Memang aku pergi terjun jambatan kejap lagi.

“Macam ni angah, sebenarnya bulan lepas ada orang masuk meminang adik.  Kami berdua suka dengan orangnya.  Sesuai, sepadan dengan adik.  Baik budi bahasa dia.  Jadi sebagai orang tua kami setuju je.  Lagipun adik memang dah cukup umur nak kahwin. Kena sangat dah tu.” terang Abah panjang lebar.

Aku tarik nafas lega.  Selamat…aku fikir abah yang nak kahwin  tadi rupa-rupanya orang masuk meminang aku.  Apelah abah dan mak ni buat saspen je.  Eh! Orang masuk meminang aku?

“Hah!!!”jeritku agak lambat sikit. Hampir nak tercabut jantung aku. Oh no!  aku kena kahwin paksa ke? Ya Allah…dugaan apa lagi ni?  Belum lagi selesai kes dengan Adam, dah tambah satu lagi babak menarik dalam hidup aku.  Macam mana ni?

Aku pandang Angah buat isyarat mata mintak tolong. ‘Cepat selamatkan adik kesayangan mu ni!!!!!’

“Abah adik ni kan masih remaja lagi.  Bagilah dia masa fikir dulu.  Banyak lagi benda dia boleh buat.  Tak perlu lah kahwin awal-awal sangat.”terang Angah perlahan-lahan.

Aku mengangguk mengiakan kata-kata angah.  Hakikatnya aku tak tahu nak cakap apa lagi.  Takut tengok muka abah yang garang tu.  Tapi dalam pada masa yang sama aku turut  terfikir mungkin ini adalah perkara yang baik. Kahwin pilihan keluarga…macam best je?

“ Kamu jangan nak masuk campur hal ni Angah.  Keputusan ditangan Abah.  Abah dah terima lamaran tu.   Jangan sesekali nak malukan Abah!” Tegas Abah.

Aku telan air liur dengar suara petir Abah.  Hah abah dah terima lamaran tu?  Ah…sudah, memang masak aku macam ni.  Aku terus tundukkan muka pandang lantai, takut dengan renungan Abah.  Sejak bila Abah dah jadi garang semacam?  Takut aku!

“Tapi abah…”

“Sudah tu!!!” sampuk abah.  Angah terus terdiam dengar suara abah yang kuat.

 Aku jeling Angah di sebelah.   Masam muka angah.  Aku tahu Angah pun tak setuju dengan perkara ni .  Aku lagilah sangat-sangat tak setuju.

“Adik terima je lah,  mak yakin adik bahagia.  Kami pilih calon yang baik tau untuk adik.  Mak dan abah akan sentiasa doakan kebahagian adik. Percayalah, yang pilihan kami berdua ni tepat.” mak mengusap bahuku. 

Ni yang lemah bila dengar suara mak penuh harapan ni. Memang tak ada harapan lah aku nak tolak pinangan ni.

Aku tarik nafas.  Macam tak terkeluar pulak suara ni.  Soaund check 1,2,3….  Aku angkat muka pandang wajah abah yang tengah merah.  Tak jadilah cakap.

Aku siku tangan angah dekat sebelah.  Help! Help!

“Mana boleh Mak.  Adik ni kan dah besar, dia berhak buat keputusan sendiri.  Lagipun ni soal masa depan dia.  Mak dan Abah tak boleh paksa macam ni.”tegas Angah sekali lagi .  Untung ada abang peguam ni.  Hujah dia memang boleh pakai.  Nampaknya Angah pun masih lagi mencuba untuk menyelamatkan aku dari edisi kahwin paksa. Sayang kamo…..

Abah mendengus geram.

“Sudah Angah!  Abah tak mahu dengar lagi apa yang kamu nak cakap. Lagipun bukan kamu yang abah suruh kahwin.  Sekarang ni abah cuma nak dengar keputusan dari mulut adik je.  Kamu jangan masuk campur.”  Abah meninggikan sedikit suara.

Angah buat muka tak puas hati.

Aku pandang wajah Abah yang garang macam singa. Aku telan air liur.  Nak bagi keputusan apa lagi kalau tadi abah cakap yang dia dah terima lamaran tu.   Maknanya suka atau tidak aku tetap kena paksa kahwin kan.

 “Macam mana, Adik setuju kan?  Mak yakin mesti adik setuju.  Mak tahu anak perempuan mak ni budak baik selalu dengar cakap kami.”senyum Mak.

Mendengar kata-kata dari mak buat aku tambah bersalah.  Apa yang patut aku buat ni? Patut ke aku setuju? Aku mengerutkan dahi cuba untuk berfikir.

Bunyi bip mesej bergema dalam beg.  Siapalah yang bengap pergi hantar mesej time aku tengah genting ni.  Memang cari masalah betu lah.  Aku tengok skrin handset.   Adam.   Cepat-cepat aku buka peti inbox untu diamkannya.

Saya rindu awak, siang malam saya mimpikan awak saja.  Tolong maafkan saya.~ Adam 

Geram hati aku membacanya.  Cepat saja jariku mendelete mesej dari Adam yang entah keberapa kali tu.  Aku kena menjauhi Adam.  Kalau tak sampai bila-bila hati aku tak akan tenang.  Tapi macam mana aku nak jauhi dia ni? 

Wajah mak dan abah aku pandang.  Aku tutup kedua-dua belah mataku.  Aku yakin yang ini adalah jalan penyelesaiannya.

“Adik setuju.”luahku penuh semangat.  Konon-konon aku teruja nak kahwin padahal…Aku kena kahwin paksa!!!! Tidak!!!!!!!!!!!

“Adik?” muka Angah nampak terkejut dengan jawapan aku. Aku senyum lebar pandang Angah.

“Alhamdulillah….macam ni lah anak mak dan abah.  Terima kasih sayang.”mak mencium pipiku.

“Tapi nanti kejap…ada syaratnya jugak.”pintaku. Well tak ada lah aku buta-buta je nak terima, mestilah aku kena tengok dulu orangnya macam mana.

“Syarat apa?”soal Abah dan mak serentak.  Amboi! Sama-sama terkejut nampak.

Aku tersenyum nipis “Adik memang setuju, tapi adik nak kenal dulu orangnya. Kalau adik tak suka adik tak nak kahwin dengan dia. Dan siapa pun tak boleh paksa adik.  Boleh tak?”tegasku.  Apa susah bila jumpa aku reject je dia.  Tak payah tangguh-tangguh lagi.  Aku ni kan panjang akal kalau nak mengenakan orang.  
Setakat lelaki pilihan mak dan abah kacang aje aku selesaikan.  Tapi siapa yang masuk meminang aku?  Adam ke?

Aku mula rasa tak sedap hati.  Wajah mak dan abah aku pandang meminta penjelasan.

“Oooo….pasal tu adik jangan risau, petang nanti adik boleh kenal dengan dia. Alah bukan orang mana pun, sedara kita jugak.  Mak yakin lah adik mesti serasi dengan budak tu.  Percayalah cakap kami.  Betul kan bang?”  Abah mengangguk tanda bersetuju dengan cakap emak.

Saudara kami? Jadi bukan Adam…Alhamdulillah, tak tepat tekaan aku.  Tapi siapa ye?  Jangan-jangan Abang Hafizul kot?  Isykk mak ni cuba terangkan betul-betul.  Kalau Abang Hafizul tak payah kenal pun tak apa.

Aku tersenyum tengok muka mak dan abah nampak gembira bila aku setuju tadi.  Angah bingkas bangun dan terus ke halaman rumah tanpa ucap sepatah perkataan pun pada aku.  Aku tahu yang Angah mesti kecewa mendengar jawapan aku tadi . 

Aku menarik nafas cuba bertenang.  Benda penting macam ni kita kena selesaikan baik-baik.  Apa-apa pun tunggu je bila aku jumpa lelaki tu nanti, tahulah aku buat keputusan.

********************************************************
Bunyi dehaman seseorang mengejutkan aku.  Aku mengangkat muka.

“Assalamualaikum , Mak Ngah kata Tizz nak jumpa abang dekat sini?”sapa Abang Hafizul.  Bibirnya tersenyum lebar memandang aku.

Tercengang aku pandang wajah dia.  Terkelip-kelip mata ni.  Lah….Abang Hafizul ke orangnya? Ya Allah… Patutlah  tadi mak cakap bukan orang mana pun.  Rupanya anak saudara dia sendiri.  Hisyk…Mak, mak memang fanatic betul nak jadikan Abang Hafizul ni menantu dia.  Sabar je lah…

Isykkk…merah muka aku pandang dia.  Ya Allah…nak terkeluar jantung aku sekarang.  Mak ni pun satu, cuba bagitahu  yang  Abang Hafizul ni orangnya.  Tak payah aku nak fikir-fikir benda yang rumit tadi, terus aku setuju je. 

 Lagipun dalam surat yang dulu tu aku memang dah janji nak tunggu pinangan  dari dia.  Jadi tak kisahlah.  Hmmm…tak sangka yang dia akan tunaikan kata-kata dia dalam surat hari tu.  Aku ingat dia dah lupakan aku selama ni.  Sengal punya Abang Hafizul. tak cakap apa-apa pun dekat aku, tahu-tahu terus pinang  je.

“Waalaikumusalam, duduklah abang.”pelawaku.  Abang Hafizul mengambil tempat duduk di depanku.  
Kami berdua duduk di bawah khemah depan rumah.

Aku pandang wajah Abang Hafizul.  Tiba-tiba kelu lidah ni nak bercakap.  Perasaanyang sangat   berbeza bila aku berdepan dengan Adam.  Tiada rasa debar tapi aku rasa lebih tenang dengan dia.  

“Apa khabar?” soal kami serentak.  Aku dan dia ketawa. Boleh pulak kami sama-sama nak bercakap.  Memang rasa gementar betul bila berdua macam ni.

Aku buat isyarat untuk mula dulu.  Abang Hafizul mengangguk

“Abang sihat?”

“Alhamdulillah sihat, Tizz sihat?”   

Aku mengangguk. “Sihat…” Hah sudah! main iklan untuk kesihatan pulak kitaorang ni, nampak bebenor nervous nye.

“Ermmm…kenapa muka tu nampak muram je sebelum abang datang tadi?  Tizz tak suka ke dengan pinangan abang ni?”

Rasa pelik bila dengar soalan Abang Hafizul.  Ketara sangat ke wajah muram aku ni?

“Eh tak lah,  Ermmm…cuma tak sangka yang rupa-rupanya Abang orang yang pinang Tizz.  Tizz fikir orang lain tadi.   Buat terkejut orang tau ,sebab mak dan abah mati-mati paksa suruh kahwin.  Kenapa rahsiakan semua ni? ”soalku lembut.   Sabar je lah dengan perangai dia ni, dahlah selama ni tak pernah nak call atau mesej.  Tiba-tiba hari ni buat gempak pinang aku dekat mak dan abah.  Rasa nak tercabut jantung aku tadi.

Abang Hafizul tergelak. “ Saja nak buat surprise lagipun sayang abang ni kan dah setuju?”
Aku tersipu-sipu malu bila dengar dia panggil ‘sayang’.

“Kot ye pun orang dah setuju,  tapi sekurang-kurang nya bagilah hint dulu.  Ni tidak, khabar berita pun tak ada.  Orang ingat abang tak ingat dekat kita lagi.”

“Mana ada lah, abang Cuma tunggu masa yang sesuai je.  Lagipun nak kahwin dengan anak orang bukan senang.  Persiapan mental kena kuat tau.  Lebih-lebih lagi nak pinang anak kesayangan Pak Ngah ni, lagilah payah.  Susah!

Aku ketawa dengar cerita Abang Hafizul, mesti dia dah kena teruk-teruk dekat abah.  Abah tu boleh tahan tegas orang nya.  Tengoklah tadi macam mana tegasnya dia nak aku kahwin dengan pilihan dia.  Memang cari nahas kalau aku tolak tadi.

“Tapi sekurang-kurangnya bagilah tahu dulu.  Tadi Tizz ingat orang lain tau.”

Abang Hafizul senyum, “ Kalau orang lain yang muncul depan ni,  Tizz setuju tak?”duganya.
Aku terdiam dengar pertanyaan dia, serta merta ingatanku teringat pada Adam. Hatiku rasa berbelah bahagi seketika.  Wajah Abang Hafizul aku tatap lemah.  Aku mengelengkan kepala,

“Kalau yang tua kerepot atau muka tak handsome memang reject lah.  Tapi nasib baik yang datang ni muka jambu.  So…mungkin lah akan diterima. Depends pada kemampuan dia.…”senyumku. 
Abang Hafizul senyum.  Tunjuk muka tak puas hati depan aku.

“Huh..kasarnya bahasa dia.  Terguris hati abang.”

Aku gelak.

“So…abang ni diterima tak.”soalnya.

Aku tongkat dagu,  Wajahnya aku pandang. Rasa sayu pula hati. “Terpulang, lagipun mak dan abah suka kat abang.  Tizz ikut je kata keluarga kita.  Lagipun kahwin pilihan keluarga ni kan berkat, ada restu.”
Abang Hafizul buat muka sedih,“Okay…maknanya abang ni pilihan keluarga lah. Kalau mak dan abah pilih orang lain, Tizz tetap setuju lah kan?”sedih dia.

Ah! Sudah…mamat ni nak merajuk pulak.  Orang dah terima tu cukup baguslah.  Lama-lama aku tolak jugak ni karang.

“Entah! Mungkin akan setuju kot…”

Masam terus muka bakal suami aku.  Tajam matanya tengok wajah aku.

“Amboi! Ada hati nak kahwin dengan orang lain eak?  Jangan harap abang benarkan.  Tizz tu hanya milik abang seorang saja tau.  Lelaki lain boleh mimpi je.  Lagipun Tizz kan dah janji dalam surat tu akan tunggu pinangan abang.  So….inilah dia.”

Aku tergelak.  Macam-macamlah Abang Hafizul ni, perangai cemburu dia tu tak sudah-sudah. 

Aku mula terfikir jika Abang Hafizul dapat tahu tentang perasaan Adam pada aku, mesti dia terluka.  Rasanya-rasanya tak perlu kot aku nak cerita pasal Adam pada dia.  Lagipun aku dengan Adam tak ada hubungan apa-apa pun.  Kami bukannya bercinta pun selama ni.

Aku pandang wajah Abang Hafizul yang tengah tunggu jawapan dari mulut aku.  Hmm….Kalau kenakan dia sikit hari ni tak salah kan?  Baru bakal tunang, so… tak adalah dosa kan? he he he.
Berkerut dahiku,“Bila masa Tizz kata nak tunggu abang?  Tizz ada cakap ke?  Surat apa ni? Rasanya tak ada? Jangan-jangan abang mimpi kot?   Hisyk… Abang ni terlampau perasan lah.”gelakku kuat. 

“Owh nak mainkan abang ye.  Tak nak mengaku.  Tunggu kejap.”  Abang Hafizul mengeluarkan sekeping surat dari dalam kocek seluar.

Bulat mataku tengok surat yang dikeluarkan.  Itukan surat yang aku tulis dulu !  Hisykk…Abang Hafizul ni nak buat apa keluarkan surat tu?  Habislah, kalau orang lain tahu isi kandungannya.  Mana aku nak letak muka nanti!

“Surat tu, macam mana boleh ada dekat sini?  Kenapa abang keluarkan?  Abang jangan nak tunjuk surat tu kat orang lain, nanti Tizz tak nak kahwin dengan abang.”ugutku.  Huisykk... sejak bila Abang Hafizul ni dah pandai kena-kenakan orang ni?  Habislah aku!

Abang Hafizul senyum lebar.

“Tahu takut, tadi macam berani sangat nak kenakan abang.  Baru tunjuk skill sikit dah kecut ha ha ha.” Gelak Abang Hafizul.

Jelingan tajam aku berikan pada dia.  Sengaja nak mengenakan aku eak.  Tak apa, nanti bila dah kahwin siap kau aku kenakan pulak.  Huh!

Abang Hafizul menyimpan kembali surat itu semula, kemudian dia memandang aku.

“Sebenarnya… surat ni memang selalu ada dengan abang.  Setiap kali abang teringatkan Tizz, abang selalu baca surat ni.  Dibaca berulang kali pun abang tak pernah rasa bosan, malah cinta tu makin bertambah.   Setiap hari sebelum pergi mengajar abang wajib baca walau sikit sekalipun.  Kata-kata dalam surat ni macam bagi satu semangat dekat diri abang tau.   Sebabkan surat ni jugak lah abang ada kekuatan untuk tunaikan hasrat abang untuk melamar Tizz.  Akhirnya kita akan bersama jugak kan?   Terima kasih sebab sudi terima abang dalam hidup sayang.”luah Abang Hafizul.

Sungguh tak ada kata-kata yang mampu aku ucapkan saat ni.  Kata-kata Abang Hafizul sebentar tadi betul-betul membuatkan aku terpana. Aku tak sangka sepucuk surat yang aku tulis tu mampu memberikan harapan pada dia.   

Abang Hafizul memang seorang lelaki yang baik.  Dia sangat setia menunggu aku rupa-rupanya.   Kenapalah sebelum ni aku tak yakin dengan dia..  Kalaulah aku yakin, pasti semua ni takkan berlaku.   Aku mesti dapat menjauhi Adam.

Serba salah aku pandang wajah Abang Hafizul.  Kelu lidah.

“Tak nak cakap apa-apa ke bila dengar semua tu?”soal dia, bila melihat aku hanya berdiam diri.

“Tizz tak tahu nak cakap apa.  Kata-kata abang betul-betul buat orang terharu.  Insyallah, Tizz akan cuba jadi isteri yang baik untuk abang.”ikhlasku.  Aku janji dengan diri sendiri akan cuba untuk jadi seorang isteri yang solehah pada dia.

“Tizz tak perlu jadi isteri yang baik untuk abang, tapi kita sama-sama jadi hamba yang soleh untuk Allah.  Itu dah cukup buat abang senang.  Abang langsung tak pernah terfikir nak minta lebih dari Tizz, bagi abang cukup lah apa yang ada sekarang.  Abang terima diri sayang seadaanya.”

Kata-kata dari mulut Abang Hafizul betul-betul buat aku serba salah.  Aku rasa tidak enak dengan layanan dia yang terlalu baik.  Aku jadi takut kalau abang Hafizul dapat tahu mengenai kisah antara aku, Fitriah dan Adam.   Mesti dia akan kecewa dengar semua tu . Tambahan pula salah satu motif aku setuju nak kahwin, adalah sebab nak selamatkan hubungan Fitriah dan Adam.  Hisykkk…Teruknya aku ni, terasa aku ni macam pergunakan dia pulak.   

“Hey kenapa muka nampak sedih ni?  Sayang tak suka ke kahwin dengan abang?”

“Bukan…Tizz suka Cuma terkejut sikit je. Kalau abang bagitahu awal-awal mesti dapat buat sikit persiapan.  Ni tak ada apa-apa pun yang orang dapat buat.”tipuku.  Rasa serba-salah makin tebal pula bila menipu dia.

Nampaknya aku tidak ada kekuatan untuk memberitahu Abang Hafizul hal yang sebenar, aku risau kalau-kalau dia terluka bila dengar cerita aku.  Dan yang paling merisaukan kalau mak dan abah turut dapat tahu semua ni mesti diorang pun akan risau.  Aku tak sanggup nak hadapi semua tu buat masa sekarang.  Tunggulah kemudian hari nanti baru akan aku ceritakan perlahan-lahan.

' Maafkan Tizz, abang walaupun Tizz tak mencintai abang sekarang  tapi Tizz yakin yang satu hari nanti, pasti cinta untuk kita berdua tu akan datang.  Buat masa sekarang Tizz Alisya akan cuba jadi seorang isteri yang penuh dengan kasih sayang agar rumah tangga kita berdua lebih bahagia.'

 “Sayang jangan risau pasal tu, abang dah sediakan semuanya.  Apa yang abang nak, sayang Cuma siapkan diri sayang je untuk majlis esok.  Itu dah cukup mengembirakan abang.”ucap Abang Hafizul tulus.  Dia pandang aku dengan penuh kasih-sayang.

Aku mengangguk. Terharu dengan kata-kata dia.  Lelaki ni cukup pandai sekali memujuk diriku.

“Ehem, ehem….” Along tiba-tiba muncul dekat meja kitaorang.  Tersenyum-senyum kambing dia menengok muka aku dan Abang Hafizul. 

“Lah kau rupanya, ingatkan siapalah tadi.  Duduklah.”pelawa Abang Hafizul ramah.  Kerusi ditarik supaya Along dapat duduk.  Sungguh sopan-santun bakal adik ipar ni ye, pandai ambil hati keluarga.  Memang kaki bodek betul!

“Amboi panas betul hari ni kan?  Bahagianya…kalau dapat minum air sirap sejuk, mesti best ni.” Along mula mengipas-ngipas mukanya dengan tangan.

Abang Hafizul tergelak kuat.  Aku buat muka toya.  Menyampah aku dengar ayat Along tu. Tu tak ada lain mesti nak kenakan bakal adik ipar dialah tu.  Nasib kau lah Abang Hafizul terpaksa lah kau kena buli hari ni.

“Kau bajet nak suruh aku ambil lah ni?”soal Abang Hafizul.

Along bajet buat muka terkejut pandang Abang Hafizul, “Well kalau adik ipar tak keberatan, apa salahnya.  Kita kan dah nak jadi satu keluarga. Kan adik kesayangan Along?”senyum Along.

Eiii!!!!!! Tak malunya along ni, buat perangai macam tu.  Tak senonoh.   Buat malu muka aku je. Rasa macam tak nak mengaku dia ni abang je sekarang.

“Yelah abang iparku, sekarang jugak adik ipar pergi ambil air special untuk abang. Tunggu kejap tau.” Laju saja Abang Hafizul bangun pergi mengambil air.  Sempat dia mengenyit mata padaku.

Aku gelak tengok mereka berdua ni, macam-macam lah.  Si Along ni kalau mengenakan orang nombor satu.  Kesian bakal suami aku tu, tak pasal-pasal kena pergi ambil air pulak.

Laju aku menampar tangan Along. “Ouch! Sakitlah dik.”Along mengosok-gosok tangannya.

“Padanlah muka! Suka sangat mengenakan orang, tak baik buat Abang Hafizul macam tu tau.”geramku.  Kot ye pun nak membuli laki aku, lain kali ajak lah aku sekali.  Barulah meriah geng buli-membuli kan, he he he.

“Alah….macam lah Along tak tahu yang kau pun ada niat sama jugak kan?  Mesti kau dah rancang nak buli dia lepas ni, betul tak?  So…sebelum adik buli dia bagilah along buli dia dulu. Lagipun bukan senang nak dapat adik ipar yang baik dan soleh macam tu.  Kita kenalah pandai-pandai manfaatkan dia.  Jangan buang masa.”terang Along bersunguh-sungguh.

Terngaga mulutku dengar statement Along, teruknya abang aku ni.  Perangai siapalah dia ikut.  Buruk bebenor!

“Eiii!! Along ni, geram adik tengok.  Dah lah adik nak masuk dulu, tolong mak dekat dalam lagi bagus. Duduk lah Along sorang-sorang dekat sini.”

“Eloklah tu dik, bawak-bawak lah buat kerja banyak sikit biar turun berat badan tu.  Awak tu nak kahwin, sat lagi tak muat baju kahwin tu besok kan susah.”gelak Along terbahak-bahak.

“Along!!!!!” geramku, laju saja aku mengejar Along keliling khemah.  Suka hati dia je kata aku ni gemuk.  Memang cari pasal ni.  Dari jauh beberapa saudara-maraku hanya ketawa melihat tingkah kami dua beradik yang berkejaran.  Abang Hafizul turut tercengang memandang kami berdua.  Dan yang paling sadisnya, aku dan along akhirnya kena marah dengan abah.  Siap dapat  ceramah  ‘Mari belajar sopan santun’ di depan orang lagi.  Havoc kan….

Abang Hafizul hanya mengelakkan je bila tengok aku kena marah dengan abah.  Terbahak-bahak dia ketawa, siap keluar air mata lagi.   Memang tak boleh pakai punya bakal suami, bukan nak ditolongnya kita malah digelakkan pulak.  Besok kalau dah kahwin memang kenalah dia dengan aku.  Tengok lah nanti!
*********************************************************************

“Masuk lah pintu tak kunci pun.” Suruhku.  Pintu bilik ditolak perlahan dari luar.  Wajah Angah terjengul keluar dari balik pintu.

“Adik tengah buat apa tu?” Angah duduk di lantai bawah bersamaku.

“Tak buat apa pun, tengah keringkan inai ni.  Mak sibuk sangat suruh adik pakai.  Katanya tak berseri kalau tak berinai.”terangku. Aku menayangkan sepuluh jariku yang sudah penuh ditepek inai.

“Owh, patutlah angah tak nampak adik kat luar tadi rupanya ada dekat sini.”

“Angah cari adik ke?”

“Aaah….”

“Kenapa?”

Angah diam.  Tepat anak matanya memandang wajahku.

“Betul ke adik nak teruskan dengan pertunangan ni?  Kenapa adik sanggup terima?  Angah tak faham.”

Aku senyum dengar soalan Angah. “Angah jangan risau, adik yakin dengan keputusan adik.  Lagipun apa adik sanggup buat apa saja asalkan mak dan abah gembira.”

“Tapi adik cintakan Adam bukan Hafizul.”tegas Angah.

Aku mengeluh perlahan.  Tak tahu macam mana nak terangkan.

“Adam bukan sesiapa pun dengan adik.  Kami tak pernah bercinta pun, dan adik pun tak pernah fikir nak bersama dengan dia.  Please…angah jangan ungkit perkara ni lagi, adik nak lupakan untuk selama-lamanya.”

Satu keluhan keluar dari mulut Angah. 

“Kita perlukan satu saat untuk jatuh cinta tapi untuk melupakan cinta sepanjang hidup pun belum tentu kita dapat hapuskan.  Adik tak rasa menyesal ke tolak cinta dia.  Mesti dia tengah tunggu adik, angah yakin cinta dia ikhlas.”

Kata-kata Angah seperti membubuh garam pada luka.  Pedih sangat tidak tertahan  Sungguh hati aku rasa tak kuat untuk mendengarnya lagi.

“Dia bukan jodoh adik.  Dia milik Fitriah.  Adik tak mahu rampas hak orang.  Cukuplah apa yang adik ada sekarang.  Adik tak terfikir nak minta lebih dari ni.”bergetar suara aku mengucapkan.  Sungguh aku tak kuat.

“Jadi adik tetap dengan keputusan adik nak kahwin dengan Hafizul?”
Aku mengangguk.  “Abang Hafizul lelaki yang baik dan ikhlas. Dia pasti akan sayang adik.”

“Mana adik tahu?  Entah-entah dia pinang adik pun pasal emak dia suruh. Kita pun tak pasti kan?” terang angah bersungguh-sungguh.

 Tanganku terus mencapai sepucuk surat diatas almari.  Aku berikan surat itu pada Angah.  Angah mengambilnya dan membaca surat itu sehingga habis kemudian dia pandang aku untuk meminta penjelasan.

“Surat tu Abang Hafizul bagi masa adik belum lagi pasti cinta adik pada Adam, masa tu adik fikir adik pun cintakan dia.  Jadi adik balas surat tu dan katakan adik menunggu lamaran dari Abang Hafizul.  Tapi… Abang Hafizul pulak terus senyap tanpa khabar berita.  Adik fikir Abang Hafizul dah lupakan adik tapi ternyatanya tidak, Dia masih tetap cintakan adik.  Dia ikhlas dan jujur.  Memang kami ni berjodoh agaknya kan…” Ucapku lembut.  Berharap sangat angah akan faham.

“Tapi adik tak cintakan dia!”tegas angah.  Dia masih lagi tidak puas hati dengan jawapanku.

“Lebih baik bersama dengan seseorang yang mencintai kita dari kita mencintainya.  Dia pasti akan membahagiakan kita.  Percayalah Angah, adik yakin keputusan adik ni tepat.  Please… percayakan adik.”pintaku penuh harap.  Aku faham abangku yang satu ni  sangat bersifat melindungi.  Sebab itulah dia tegas tentang perkara ni, lagipun abang mana yang nak tengok adik dia terluka kan.

Angah mengusap-usap rambutku lembut. “Baiklah angah percayakan adik.  Angah harap keputusan adik ni tepat.  Tapi kalau tak boleh jangan paksa diri tau.  Angah tak mahu adik terluka.”

Aku mengangguk.  Rasa lega hati bila angah dapat terima semua ni.  Rasanya tiada apa lagi yang perlu aku risaukan.  Semuanya kelihatan baik.    Aku berdoa di dalam hati agar keputusanku ini dapat merubah sesuatu dan memberikan sesuatu yang baik.  Semoga hari-hari aku esok lebih baik dari semalam. Insyallah….




4 comments:

Unknown said...

BEST,TAPI SAYA LAGI SUKA ADAM.

Ian asynata said...

Adam...hahaha ada jugak peminat adam. ingatkan hafizul je yang diminati he he he.

Unknown said...

Sy pn..sy suka adam..cpt la smbung citer nie.tiap2 ari sy tgk blog nk bce smbungn die..xleh nk jngka si tizz ni ngn sape

tinta merah said...

Bestnyer...sian hafizul..napelah tizz taknak terus terang awal2 huhuhu...

Post a Comment

About Me